Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Dua hilang ditemui mati lemas




Mohd. Fitri Rosli menunjukkan gambar anaknya, Siti Azimah yang hilang semasa mengikuti perkhemahan di Hutan Lipur Ulu Kenas. - BERNAMA
KUALA KANGSAR 18 Mac - Dua daripada empat pelajar Kolej Vokasional Kuala Kangsar yang dilaporkan hilang ketika menuruni Gunung Bubu dekat sini kelmarin, ditemui mati lemas di Sungai Gading hari ini.
Mayat pelajar tingkatan lima, Adam Asraf Azman dan Muhamad Amir Ashraff Baharuddin ditemui kira-kira 3.20 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat selepas dua hari dilaporkan hilang.
Mayat salah seorang pelajar berjaya dibawa turun dari Gunung Bubu pada 5.40 petang manakala seorang lagi pada pukul 9 malam ini.
Sementara itu, dua lagi pelajar yang turut dilaporkan hilang, Muhammad Putera Rafii dan Siti Azimah Mohd. Fitri ditemui selamat dalam keadaan lesu dan keletihan pukul 9.30 pagi di tebing Sungai Gading.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Ahmad Rabawi Abd. Jalil berkata, pasukan penyelamat menemui mayat kedua-dua pelajar di Sungai Gading yang terletak kira-kira 13 kilometer dari kawasan Hutan Lipur Ulu Kenas.
"Untuk sampai ke tempat mangsa ditemui, pasukan penyelamat perlu berjalan kaki selama lima jam.
"Setakat ini, kita percaya kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat lemas.
"Dua lagi mangsa yang turut dilaporkan hilang, berjaya ditemui tetapi dalam keadaan tidak bermaya berhampiran lokasi mereka dilaporkan hilang pada pukul 9.30 pagi ini," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Keempat-empat pelajar itu merupakan sebahagian daripada 25 pelajar tingkatan lima kolej itu yang mengikuti program perkhemahan tiga hari dua malam di gunung berkenaan bersama enam guru pengiring.
Kumpulan pelajar itu mula mendaki Gunung Bubu, yang mempunyai ketinggian 1,657 meter dari paras laut, pada 3.30 petang Jumaat lalu dan menuruni gunung berkenaan pada petang Ahad.
Kira-kira 2.30 petang Ahad, empat pelajar didapati hilang sebelum guru yang menyertai aktiviti itu membuat laporan polis pada pukul 10.15 malam hari yang sama.
Operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan sejak Ahad lalu itu membabitkan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perhutanan, Rela, polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk kampung.
Sementara itu, bapa kepada Adam Asraf yang enggan namanya disiarkan memberitahu, kali terakhir dia bertemu anak sulungnya itu ialah pada 9 Mac lalu.
Menurutnya, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kehilangan anaknya, dia bergegas ke lokasi kejadian di Hutan Lipur Ulu Kenas untuk mengetahui nasib Adam Asraf.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140319/je_01/Dua-hilang-ditemui-mati-lemas#ixzz2wRnnI4lq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment