Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Dua beradik terbabit kes pecah rumah ditahan


2014/03/19
Subang Jaya: Polis percaya dapat menyelesaikan sembilan kes pecah rumah di sekitar Putra Heights, di sini, membabitkan kerugian hampir RM30,000, berikutan penahanan dua beradik, Jumaat lalu.

Suspek yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun itu ditahan ketika meronda di sekitar kawasan perumahan itu, kira-kira jam 5 petang.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata kedua-dua suspek yang mempunyai rekod kesalahan jenayah lebih 19 kes membabitkan samun, pecah rumah dan dadah, sering melakukan pecah rumah di kawasan perumahan sekitar daerah itu.

Katanya, suspek yang bergiat aktif sejak setahun lalu menyasarkan rumah yang tidak berpenghuni dan melakukan pecah rumah pada waktu bekerja antara jam 3 petang hingga jam 5 petang.

“Mereka (suspek) hanya menggunakan sarung tangan dan pemutar skru untuk memecah masuk melalui pintu belakang dan tingkap di bahagian tepi rumah.

“Hasil soal siasat mendapati modus operandi mereka adalah dengan melakukan rondaan terlebih dulu sebelum memasuki rumah yang sudah dikenal pasti tidak berpenghuni,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, semalam.

Turut dirampas, beberapa telefon bimbit, jam tangan pelbagai jenama dan barang kemas, dengan sebahagiannya sudah dijual di sekitar Subang Jaya.
Yahaya berkata, mereka yang menetap di Seksyen 19, Shah Alam, menyasarkan rumah teres di Putra Heights kerana mempunyai laluan keluar masuk yang strategik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah,” katanya.

No comments:

Post a Comment