Search This Blog

Sunday, March 30, 2014

Disamun tiga lelaki berparang

WARTAWAN SINAR HARIAN
Disamun tiga lelaki berparang
Hwa Len menunjukkan aksi penyamun mengacukan parang ke arahnya ketika menerima kunjungan Ketua Puteri Umno Tanah Merah, Hanisathirah Ab Ghari (dua kiri).
29 Mac 2014
 TANAH MERAH - “Saya rasa seperti mati hidup semula bila terselamat kerana waktu itu, saya hanya ingat mati,” kata Lee Hwa Len, 65, selepas rumahnya disamun tiga lelaki bersenjatakan parang di Taman Guru, dekat sini, malam kelmarin.

Hwa Len berkata, selama kira-kira setengah jam dia dan anaknya ‘ditawan’ penyamun terbabit, dia hanya berfikir akan mati setiap kali lehernya diacukan parang oleh penjenayah berkenaan.

“Dalam hati saya hanya ingat mati dan berdoa supaya Tuhan tolong bila mereka (penyamun) letak parang di leher,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Guru, dekat sini, semalam.

Menurut Hwa Len, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika dia dan anaknya, Wong Chai Wun, 34, baharu pulang dari sebuah tokong di Jelatuk, dekat sini.

“Bila anak saya buka pintu pagar, seorang lelaki diikuti dua lagi lelaki datang dari arah dapur dan terus menerkam ke arah kami sambil mengayunkan parang serta menyuruh kami diam.

“Mereka kemudian minta anak kunci rumah dan dua daripadanya cuba buka pintu, manakala seorang lagi ‘jaga’ saya sambil acukan parang tetapi gagal, lalu menyuruh anak saya bukakan pintu,” katanya.

Hwa Len berkata, apabila berjaya masuk, seorang daripada penyamun terbabit membawanya naik ke tingkat atas rumah untuk mencari barangan berharga, manakala anaknya diikat di bahagian dapur.

“Mereka hanya sebut nak duit, nak emas dan minta kami beri kerjasama berulang-ulang kali. Bila tidak jumpa barang berharga di tingkat atas, mereka ambil duit kira-kira RM4,000 dalam beg saya di tingkat bawah.

“Rantai emas saya dan anak saya bernilai kira-kira RM4,000 juga diragut. Seorang penyamun juga sempat masuk ke dalam kereta anak saya dan ambil duit kira-kira RM150 dalam dompet,” katanya yang luka di jari telunjuk kanan akibat terkena parang.

Hwa Len berkata, dia percaya tiga penjenayah terbabit sebelum itu bersembunyi di bahagian dapur rumahnya yang sedang dalam proses ubah suai berdasarkan kesan umpil pada tingkap.

“Kami keluar rumah untuk ke tokong kira-kira jam 7.30 malam dan balik rumah setengah jam kemudian. Saya rasa mereka sedang umpil tingkap dapur bila kami pulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian samun itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, hasil siasatan awal, tiga penyamun terbabit dipercayai lelaki Cina dianggarkan berumur 30-an dan suspek dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah kereta Honda Accord berwarna ‘silver’.

No comments:

Post a Comment