Search This Blog

Thursday, March 20, 2014

Dewan Rakyat: Dewan kecoh isu bomoh MH370


2014/03/19
Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan saling tuduh menuduh pihak bertanggungjawab membawa bomoh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengesan pesawat MH370.

Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) pada mulanya menuduh kerajaan bertanggungjawab membawa bomoh, Ibrahim Mat Zin dalam usaha membantu mengesan pesawat yang masih hilang.


Minta tunjuk bukti

Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) kemudian bangun mencelah meminta Siti Zailah menunjukkan bukti atas tuduhannya menuduh BN bertanggungjawab atas kemunculan bomoh itu.

“Siapa yang hantar bomoh? Mana bukti? Mana bukti?,” katanya.

Perlakuan kedua-dua Ahli Parlimen itu dibiarkan Timbalan Speaker, Datuk Ismail Mohamed Said yang senyap membiarkan mereka bertikam lidah selama beberapa minit.
Sementara itu, kerajaan diminta menyediakan kaedah terbaik termasuk pemberian subsidi bagi menyelaraskan harga rumah di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung berikutan perbezaan harga yang begitu ketara.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh, berkata ketiadaan skim rumah kos rendah di Sabah menyebabkan penduduk terpaksa membayar lebih untuk harga rumah.

“Sebagai contoh, jika kita boleh mendapatkan rumah di Semenanjung dengan harga RM30,000, harga rumah yang sama akan melonjak antara RM100,000 hingga RM150,000 di sana (Sabah dan Sarawak).

“Justeru, mekanisme tertentu perlu dicari bagi menyelaraskan harga di antara kedua-dua lokasi supaya tidak ada perbezaan harga, termasuk cadangan pemberian subsidi pembelian rumah,” katanya berucap menjunjung kasih titah Diraja.

Kerajaan memberi jaminan keputusan mengeluarkan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) daripada senarai Bursa Malaysia dan penswastaannya, tidak akan memberi kesan terhadap tanggungjawab sosial dan kepentingan syarikat itu kepada rakyat terutama golongan petani.

Terikat perjanjian

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata BERNAS masih terikat dengan perjanjian dengan kerajaan.

“Penswastaan itu tidak akan menjejaskan perjanjian yang dibuat antara kerajaan dan BERNAS.

“Apa juga penstrukturan semula, ia tidak akan sesekali mengabaikan kepentingan rakyat malah melindungi kepentingan petani dan pengedar Bumiputera di negara ini, ” katanya pada media di lobi Parlimen di sini, semalam.

Sementara itu, 3,381 belia berusia 18 tahun ke atas mendaftar sebagai sukarelawan Penggerak Inovasi 1Malaysia atau ICATs, sejak dilancarkan tahun lalu, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Katanya, daripada jumlah itu, 1,846 adalah wanita menyertai program sukarela itu yang dilaksana Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Beliau berkata, program berkenaan bagi memperkasa belia 18 tahun ke atas dalam membudayakan inovasi dalam kalangan komuniti akar umbi.

No comments:

Post a Comment