Search This Blog

Sunday, March 30, 2014

Dendam lampau punca dua lelaki disimbah asid


2014/03/29 - 07:51:31

Kota Bharu: Polis tidak menolak kemungkinan kes simbah asid terhadap dua lelaki, termasuk seorang remaja di sebuah gerai di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, Rabu lalu, bermotifkan dendam lampau.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, menegaskan pihaknya akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat dan memaklumkan, kedua-dua mangsa dilaporkan stabil.


"Kedua-dua mangsa stabil dan kita akan merakam percakapan mangsa bagi membantu siasatan polis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis perbarisan sempena Pemakaian Pangkat Komanden dan Ajutan Sukarelawan Simpanan PDRM.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, berkata pihaknya sudah mengenal pasti suspek lelaki itu yang berusia 22 tahun dan gerakan memburunya giat dilakukan.

"Kita sudah pergi ke rumah suspek tidak jauh dari rumah mangsa, namun suspek sudah menghilangkan diri. Bagaimanapun, polis percaya suspek masih berada di kawasan sekitar dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Berdasarkan rakaman percakapan dengan seorang mangsa, kes berkenaan ada kaitan dengan dendam lama, namun kita menunggu keadaan mangsa kedua berusia 22 tahun stabil, sebelum merakam percakapan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam kejadian Rabu lalu, Emi Azman, 22, melecur teruk di muka, manakala rakannya, Tuan Zulashraf Yaacob, 14, melecur di muka dan bahu selepas disimbah cecair, dipercayai asid oleh seorang lelaki bermotosikal.
Ketika kejadian jam 10.15 malam, dua sahabat itu dikatakan berada di atas motosikal untuk membeli burger sebelum didatangi sebuah motosikal dipandu suspek.

Sebaik disimbah asid, kedua-dua mangsa masih sempat memecut motosikal melarikan diri sambil menjerit meminta tolong memandangkan pada masa sama, suspek turut mengejar mereka.

No comments:

Post a Comment