Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Denda RM10,000 tinggal lebih masa

WARTAWAN SINAR HARIAN
Denda RM10,000 tinggal lebih masa
Rusyidah kelihatan sayu selepas dijatuhkan hukuman. - Foto Sinar Harian 
19 Mac 2014
GEORGETOWN - Seorang wanita warganegara Indonesia hanya mampu terduduk apabila mahkamah majistret, di sini, memerintahkan dia membayar denda RM10,000.

Tertuduh, Rusyidah Usman, 33, itu didakwa melakukan kesalahan tinggal lebih masa daripada tarikh pasport lawatannya ke negara ini.

Dia yang tidak ditemani sesiapa dalam mahkamah hanya termangu beberapa kali apabila Majistret Umma Devi Loganathan bertanyakan soalan.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan tersebut pada 4 Februari 2014 di sebuah rumah tidak bernombor di Lebuh Noordin.

Dalam serbuan pihak berkuatkuasa itu mendapati tarikh lawatannya pada 11 November 2012 sudah pun luput.

Atas kesalahan itu, dia disabitkan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa serta Peraturan 39B, Akta Imigresen 1963.

Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang kemudiannya mengaku bersalah memohon supaya hukuman diringankan kerana masih mempunyai anak di Indonesia.

“Saya hanya bekerja sebagai pembantu kantin dan duit akan dihantar kepada anak di sana, tolong rendahkan hukuman saya,” katanya dalam kandang tertuduh.

Umma kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh, sekiranya gagal bayar tiga bulan penjara.

Dia yang kemudiannya mendengar hanya mampu ternganga dan terduduk di atas kerusi dalam keadaan lemah.

No comments:

Post a Comment