Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Datuk Bandar wanita pecat pegawai berpoligami tanpa izin


SURABAYA 18 Mac - Seramai 30 pegawai kerajaan lelaki di Surabaya dipecat oleh Walikota (Datuk Bandar) wilayah itu, Tri Rismaharini kerana berpoligami tanpa izin.
Ketegasan Tri memecat kesemua pegawai berkenaan sepanjang tahun lalu bukan hanya kerana mereka bernikah tanpa izin, bahkan tindakan itu juga disifatkan beliau sebagai melanggar peraturan perkhidmatan.
"Sebahagian besar berkahwin lagi tanpa izin sedangkan sudah diingatkan (jangan berbuat demikian) tetapi tindakan itu dikesan. Akhirnya mereka dipecat," kata Walikota wanita yang pertama memimpin Surabaya itu hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis angkat sumpah pegawai-pegawai kerajaan baharu.
Berhubung kes pegawai-pegawai kerajaan yang dibawa ke muka pengadilan kerana terlibat dalam kesalahan lain pula, Risma berkata, kes-kes berkenaan diserahkan kepada pihak berwajib.
"Kerana itu saya meminta, agar pegawai-pegawai kerajaan mentaati peraturan yang ada dan menepati sumpah perkhidmatan kerana itu akan dijawab di hadapan Tuhan nantinya," ujarnya.
Dalam ucapannya juga, Tri mengingatkan semua pegawai kerajaan agar memelihara kerjaya yang disandang kerana mereka yang berjaya mendapat pekerjaan itu merupakan orang yang istimewa.
"Daripada sekitar 10,000 yang mendaftar pada 2013, tidak sampai 400 permohonan diterima," kata beliau lagi.
Tri terkenal sebagai seorang pemimpin wanita yang sangat tegas dan tidak akan berkompromi terhadap hal-hal yang remeh.
Bahkan beliau juga tanpa rasa gentar akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar peraturan. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140319/lu_02/Datuk-Bandar-wanita-pecat-pegawai-berpoligami-tanpa-izin#ixzz2wMXgETtv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment