Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Dakwa mahu bayar kos belajar anak



ANTARA botol air ketum yang dirampas di sebuah rumah di Kampung Gong Kelih, Gaal, Pasir Puteh, Kelantan kelmarin.


PASIR PUTEH – Seorang penganggur mendakwa, dia terpaksa menjual air ketum kerana mahu menampung kos pengajian anaknya di salah sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di sini.
Apa jua alasan yang diberikan olehnya bagaimanapun tidak mampu mengelak dirinya daripada didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas kediamannya di Kampung Gong Kelih, Gaal di sini didapati telah dijadikan tempat memproses bahan terlarang itu.
Ketika serbuan dijalankan pada pukul 7.20 pagi kelmarin, suspek yang berusia 43 tahun itu juga sedang asyik memasak daun ketum.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Kamal Zainal (gambar kecil) berkata, penahanan itu dibuat selepas pihak polis menjalankan intipan dan risikan selama beberapa hari di rumah itu yang didakwa menjalankan aktiviti haram ini.
“Ketika serbuan dibuat, suspek sedang berada di dapur memasak sementara isterinya tidak ada di rumah kerana menghantar anak mereka ke sekolah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ujar Mohd. Kamal lagi, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemui 11 botol plastik berisi cecair berwarna kehijauan dengan jumlah isipadu 15 liter selain satu periuk aluminium berisi daun ketum.
Semasa disoal siasat, beliau berkata, suspek mendakwa, air ketum hasil ‘air tangannya’ itu dijual dengan harga RM2 sebungkus.
“Dia juga beri alasan yang hasil jualannya itu dikumpulkan untuk membiayai keperluan pengajian anaknya di sebuah IPT berikutan tiada sumber kewangan lain.
“Suspek memberitahu polis, bekalan daun ketum diperolehi daripada pembekal dari Besut, Terengganu,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0305&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2v2Wpn6BZ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment