Search This Blog

Thursday, March 20, 2014

Cubaan larikan barang kemas gagal

WARTAWAN SINAR HARIAN
Cubaan larikan barang kemas gagal
Barang kemas yang berjaya diselamatkan oleh ahli PPKM. 
20 Mac 2014
KULIM - Hasrat dua lelaki melakukan samun dan pecah rumah di Taman Bukit Kulim kira-kira jam 12 tengah hari semalam tidak kesampaian apabila kegiatan mereka dilihat beberapa jiran lain.
Jiran mangsa ketika ditemui berkata, dia ternampak suspek berlegar-legar dengan menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z di kawasan taman perumahan itu sebelum berhenti di hadapan rumah jirannya.

Dia kemudiannya masuk ke rumah dan hanya melihat suspek melalui cermin. Bagaimanapun dia hairan kerana salah seorang suspek sahaja berada di hadapan rumah manakala seorang lagi tidak kelihatan.

Curiga dengan keadaan ini, dia telah memaklumkan kejadian itu kepada ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat (PPKM) Kulim dengan menggunakan alat perhubungan.

Pengerusi PPKM, Khor Eng Khim telah mendapat maklumat diberi dan terus ke rumah mangsa.

Menurut Eng Khim, dari maklumat diperoleh rumah itu kosong kerana pemiliknya tidak berada di rumah.

"Saya meminta semua ahli PPKM  membuat pemantauan terhadap rumah mangsa. Bagaimanapun setelah beberapa kali memanggil mangsa, ahli PPKM ternampak salah seorang suspek melarikan diri melalui tingkap bilik belakang bersama sebuah beg," katanya.

Beliau berkata, ahli PPKM menahan suspek bagaimanapun suspek bertindak agresif dan memukul ahli PPKM.

"Ahli PPKM yang bergelut dengan suspek bagaimanapun terus memegang beg yang berada di tangan suspek. Bimbang ditangkap ahli PPKM yang lain, suspek kemudiannya melarikan diri dengan motosikal," katanya.

Dalam pada itu, ahli PPKM lain cuba mengejar suspek bagaimanapun mereka terus memecut motosikal.

"PPKM kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada unit MPV sebelum mengambil beg yang berisi barangan kemas itu ke balai polis.

“Dari jumlah emas yang diperoleh, saya percaya ia tidak kurang dari RM60,000. Walaupun ahli PPKM tercedera tetapi masih mampu menyelamatkan beg yang berisi barangan kemas itu dari dilarikan oleh suspek,” katanya.

No comments:

Post a Comment