Search This Blog

Thursday, March 20, 2014

Cuaca buruk gagalkan kesan 2 objek


Perdana Menteri Australia, Tony Abbott ketika bercakap dalam parlimen di Canberra mengenai gambar satelit penemuan dua objek yang mungkin ada kaitan dengan kehilangan pesawat MH370, semalam. - REUTERS
SYDNEY 20 Mac - Australia menjangkakan hanya dapat membuat analisis, sama ada objek yang dikesan sebuah satelit di Lautan Hindi adalah serpihan pesawat MH370 atau tidak, dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.
Namun, setakat ini, penerbangan pertama yang dihantar ke lokasi itu gagal mengesan objek berkenaan berikutan cuaca buruk.
Pihak berkuasa dijangka mengetahui apakah objek berkenaan adalah serpihan pesawat Malaysia Airlines atau tidak dalam tempoh "dua atau tiga hari" lagi, lapor Associated Press memetik Menteri Pertahanan, David Johnston sebagai berkata di Jakarta, hari ini.
Tetapi sebuah pesawat Orion daripada Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) yang dihantar ke lokasi itu, hari ini untuk menyiasat objek tersebut gagal mengesan objek berkenaan, kata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA).
Pesawat pemantau P-3 dihantar ke kawasan zon pencarian di Lautan Hindi kira-kira 2,500 kilometer ke barat daya Perth selepas Australia mendedahkan kehadiran dua objek tersebut yang dipercayai ada kaitan dengan pesawat MH370.
"Pesawat itu tidak dapat mengesan objek tersebut. Awan gelap dan hujan membataskan penglihatan," kata AMSA dalam Twitternya.
Tiga lagi pesawat pemantauan jarak jauh, satu masing-masing dari Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat, dijangka memeriksa kawasan itu di mana satelit mengesan dua objek, satu daripadanya sepanjang 24 meter.
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott memberitahu Parlimen tentang imej satelit itu dengan menegaskan ia perlu disahkan terlebih dahulu sama ada ia adalah serpihan pesawat MH370. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140321/dn_02/Cuaca-buruk-gagalkan-kesan-2-objek#ixzz2wb4IE5ND
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment