Search This Blog

Monday, March 31, 2014

Cederakan isteri: Suami dijel 6 bulan

Cederakan isteri: Suami dijel 6 bulan
Mohd Yunus didapati bersalah cederakan isteri. 
ROSMIZA KASIM
31 Mac 2014
KOTA BHARU - Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara enam bulan dan denda RM1,000 oleh mahkamah majistret di sini, semalam, setelah mengaku bersalah memukul isterinya, minggu lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad memutuskan hukuman terhadap Mohd Yunus Sayed Ali, 35, berkuat kuasa tarikh tangkapan iaitu pada 24 Mac lalu dan jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjarakan enam bulan.

Mohd Yunus mengaku mendatangkan kecederaan terhadap Hafizah Safiin, 24, di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Pauh, Badang, iaitu dengan sengaja memukul guna tangan sehingga menyebabkan mangsa cedera, kira-kira jam 8.30 malam,  24 Mac 2014.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Mohd Yunus dalam rayuannya memberitahu mahkamah dia insaf atas perbuatannya dan tidak mahu mengulangi kesalahannya itu.

Nik Habri ketika penghakimannya menasihatkan tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan sama selepas ini.

“Saya telah menerima keterangan impak mangsa iaitu isteri kamu secara bertulis kepada saya yang meminta kamu diberikan hukuman setimpal.

"Dia beritahu ini bukan kali pertama dan kamu sering mengamuk serta menghempas barangan rumah setiap kali kamu mengambil dadah,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh ke rumah isterinya di Kampung Pauh kerana mahu  berjumpa anak bongsunya berusia setahun dua bulan, namun berlaku pertengkaran antara mereka. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri.

No comments:

Post a Comment