Search This Blog

Thursday, March 20, 2014

Buruh dipenjara pecah masuk rumah guru

RAHAYU MUSTAFA
Buruh dipenjara pecah masuk rumah guru
Mohd Daud dipenjara dua tahun selepas mengaku salah mencuri pelbagai barangan milik seorang guru .
20 Mac 2014
 KUALA TERENGGANU - Tidak sampai tiga jam memecah masuk rumah seorang guru, seorang buruh akhirnya berjaya diberkas polis.

Mohd Daud Seman, 37, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan akhirnya dikenakan hukuman dua tahun penjara, semalam.

Keputusan itu dibuat majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas tertuduh mengaku salah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama di bawah Seksyen 34 kanun sama kerana mencuri di dalam bangunan.

Dia dituduh bersama pasangan suami isteri pada 11 Mac lalu, kira-kira jam 7.30 pagi hingga 11.15 pagi di rumah mangsa di Kampung Gelong Bilal, Jalan Pasir Panjang.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri berkenaan, Sukeri Bidi, 36, dan Roshanita Hanipa, 34, yang turut didakwa bersama-sama, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Rozianti menetapkan 7 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin sebanyak RM13,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mengikut fakta kes, mangsa yang sedang bekerja di SM Sains Kuala Terengganu, telah menerima panggilan telefon daripada polis menyatakan kediamannya dipecah masuk, kira-kira jam 11.15 pagi.

Sebelum itu, lebih kurang jam 10.30 pagi, polis telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Kubang Parit,  selepas mendapat maklumat awam berhubung jenayah pecah rumah yang berlaku kira-kira tiga jam sebelum itu.

Anggota bertugas terpaksa memecahkan pintu rumah berkenaan selepas penghuni enggan memberi kerjasama membuka pintu apabila diperkenalkan diri sebagai polis serta memberi salam beberapa kali.

Hasil pemeriksaan di dalam rumah, polis menemui Mohd Daud yang ketika itu bersembunyi di atas bumbung rumah; Sukeri pula bersembunyi di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah manakala Roshanita bersembunyi di dalam sebuah bilik lain juga di tingkat atas rumah.

Polis juga menemui semula barangan yang dipercayai dicuri sebelum itu di ruang tamu rumah.

No comments:

Post a Comment