Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Bom tangan masih aktif ditemui depan kedai


Sebutir bom tangan yang ditemui orang ramai dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Klang, semalam. - UTUSANMohd. Shaharani Saibi
KLANG 18 Mac - Orang ramai yang melalui Jalan Klang Sentral 8/KU5 di sini hari ini gempar dengan penemuan sebutir bom tangan dengan picu keselamatannya sudah ditarik.
Bom tangan itu ditemui di atas rumput di hadapan deretan kedai yang terletak berhampiran Terminal Klang Sentral pada kira-kira pukul 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Shukor Sulong berkata, siasatan mendapati bom tangan tersebut masih aktif namun tidak meletup kerana bahagian penyambungnya sudah berkarat.
Beliau berkata, Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah dihubungi untuk membantu memusnahkan bom tersebut.
"Bom tersebut telah diletupkan pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari bagi mengelak letupan rawak berlaku dan orang ramai berada dalam jarak selamat kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi di sini hari ini.
Mohd. Shukor menambah, pihaknya juga telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan berhampiran namun tiada sebarang petunjuk ditemui.
"Kita juga percaya bom tangan tersebut bukan milik mana-mana pasukan keselamatan." jelasnya.
Ujar Mohd. Shukor, bom tangan tersebut dipercayai telah berada di lokasi kejadian sejak malam tadi dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Letupan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140319/je_02/Bom-tangan-masih-aktif-ditemui-depan-kedai#ixzz2wMaErWqi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment