Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Bekas pelajar nafi bunuh


Tertuduh menutup muka ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka, semalam.
MELAKA 18 Mac - Seorang bekas pelajar kolej dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian bayi lelaki yang baru dilahirkannya di sebuah rumah di Tanjung Kling, hujung tahun lalu.
Tertuduh berusia 17 tahun 11 bulan ketika kejadian, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Bukit Rambai, Batang Tiga dekat Tanjung Kling di sini kira-kira pukul 8 malam, 23 Disember tahun lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Maisarah Kamal yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh atas alasan kes itu telah menyebabkan kematian seorang bayi.
Menurut beliau, kes tersebut turut mendapat liputan media.
Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan tertuduh merupakan pesalah juvenil dan ahli keluarganya hadir sebagai penjamin.
Azrul juga memberitahu, tertuduh kini membantu ibunya berniaga kuih dan tidak berhasrat untuk melarikan diri.
Azhaniz Teh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 21 April ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140319/ma_01/Bekas-pelajar-nafi-bunuh#ixzz2wMZzBN26
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment