Search This Blog

Monday, March 24, 2014

Bayi sakit gara-gara kebakaran hutan

WARTAWAN SINAR HARIAN
Bayi sakit gara-gara kebakaran hutan
Fatin Nursyirah terpaksa diberi bantuan penafasan akibat sesak nafas.
24 Mac 2014
 JERTIH - Seorang bayi berusia lapan bulan terpaksa menerima rawatan selama beberapa hari di hospital akibat kesukaran bernafas dipercayai akibat pencemaran udara ekoran kebakaran hutan berhampiran rumahnya di Kampung Gong Kepas dekat Kampung Raja.

Bapa bayi berkenaan, Mohd Azli Mustafa, 39, berkata, anak perempuannya Fatin Nursyirah dimasukkan ke wad Hospital Besut sejak Rabu lalu selepas mengalami batuk kronik dan lelah.

Menurutnya, sebelum itu Fatin Nursyirah demam beberapa hari dan masalah kesihatannya mula dialami sejak berlakunya kebakaran hutan di kawasan Gong Kepas menyebabkan asap menyelubungi rumahnya yang terletak kira-kira 300 meter dari tempat kebakaran.

“Masalah ini turut berlaku terhadap ramai bayi dan kanak-kanak lain yang tinggal di kawasan berkenaan dan saya percaya ia ada kaitan dengan asap dari kawasan kebakaran,” katanya.

Mohd Azli berkata, pihak hospital memberitahu masalah kesihatan dihadapi anaknya disebabkan jangkitan kuman dan pencemaran udara menyebabkan gangguan di bahagian paru-paru.

Menurutnya, berikutan itu dia merayu kepada orang ramai agar tidak melakukan pembakaran di kawasan tersebut kerana boleh dikatakan sepanjang musim kemarau baru-baru ini masalah kebakaran hutan di situ berlaku sepanjang masa.

“Mereka kena fikir kesihatan orang ramai terutama kanak-kanak.. kini anak saya terpaksa bernafas dengan bantuan oksigen dan saya juga simpati dengan anggota bomba yang sentiasa bertungkus lumus memadam kebakaran di situ,” katanya.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana keadaan anaknya semakin pulih dan dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam masa terdekat.

Sementara itu menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Hasmadi Jusoh, sikap tidak bertanggungjawab orang ramai yang membakar atau membuang putung rokok di kawasan tersebut amat dikesali.

Menurutnya, hampir setiap hari pihaknya terpaksa memadam kebakaran di kawasan tersebut.

“Kebakaran hutan itu bukan sahaja boleh menyebabkan jerebu tetapi pencemaran udara memberi kesan buruk kepada kesihatan khususnya kanak-kanak dan warga emas.

“Justeru kami nasihatkan orang ramai agar jangan sesekali melakukan pembakaran terbuka pada musim panas dan membuang putung rokok di kawasan belukar,” katanya.

Kata Hasmadi, sebanyak tiga lokasi kebakaran hutan berjaya dipadamkan dalam kejadian kelmarin iaitu di kawasan Paya Rawa dekat Gong Kepas, Bukit Jeruk (Jabi) dan Benting Lintang.

No comments:

Post a Comment