Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Bapa nafi bahagi tugas rotan anak


KUALA LUMPUR – Azizul Raheem Awalludin menafikan dakwaan daripada anaknya, Ammar yang menyatakan dia dan isteri, Shalwati Nurshal pernah berbincang mengenai pembahagian tugas untuk memukul anak-anak mereka.
Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, ketika ditanya pihak pendakwa pada hari ketujuh perbicaraan kelmarin, Azizul menyifatkan kelemahan bahasa Melayu Ammar menyebabkan anak keduanya itu tersalah faham perbincangannya dengan Shalwati.
“Azizul menyatakan bahawa setiap perbincangan dengan Shalwati akan dilakukan dalam bahasa Melayu dan disertai dengan bunyi televisyen yang kuat.
“Selain itu, dia turut menutup pintu dengan rapat bagi mengelakkan anak-anak mereka mendengar perkara yang dibincangkan olehnya dengan Shalwati,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Azizul yang merupakan pegawai Tourism Malaysia di Sweden telah ditahan bersama isterinya, Shalwati sejak 18 Disember tahun lalu dan didakwa secara berasingan di mahkamah daerah Stockholm, Sweden pada 10 Februari lepas atas tuduhan mendera anak mereka.
Menurut Khairul Anwar, selain insiden melibatkan Ammar, Azizul turut disoal mengenai insiden melibatkan anak ketiganya, Adam.
“Azizul dilihat kembali beremosi ketika ditanya mengenai Adam dan dia menyatakan hanya memarahi Adam kerana anaknya itu berbohong mengenai solat.
“Azizul menyatakan dia hanya memegang dan memandang ke arah Adam dengan menerangkan secara perlahan-perlahan agar bisa difahami dan diamalkan Adam,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Khairul Anwar berkata, pada perbicaraan itu, peguam bela Azizul, Jonas Tamm diberi peluang mengemukakan soalan balas kepada Azizul supaya menerangkan sifat dan perilaku Ammar kepada mahkamah.
Menurut beliau, Azizul yang sekali sekala mengusap mukanya menggambarkan Ammar sebagai seorang yang mempunyai sifat kepimpinan selain gemar menganggap dirinya seorang yang serba tahu.
“Oleh sebab itu, Azizul berkata dia tidak menafikan jika ada dakwaan yang dikemukakan oleh Ammar dalam kes ini merupakan satu rekaan atau penambahan daripada cerita asal,” katanya.
Sebelum perbicaraan berakhir, Mahkamah Daerah Solna tersebut kecoh seketika apabila pegawai pendakwaan berusaha memohon tambahan masa selama tujuh minit bagi mengemukakan keterangan namun ditolak Hakim.
Perbicaraan hari kelapan pada hari ini akan menyaksikan sambungan keterangan Azizul dengan pihak pendakwaan dijangka menyoal beberapa soalan tambahan kepada Azizul bagi membuktikan dakwaan mereka.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0305&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2v2WRDv8H 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment