Search This Blog

Sunday, March 30, 2014

Banjir kilat terus berulang

SYAMILAH ZULKIFLI
Banjir kilat terus berulang
Subramaniam (kanan baju biru) bersama Cha Kee Chin (kiri) menunjukkan paras banjir kilat yang berlaku di rumahnya baru-baru ini
29 Mac 2014
 SEREMBAN – Seorang penduduk di Taman Green Street Homes, di sini melahirkan rasa kesal berikutan masalah banjir kilat yang sering dihadapinya tetap berulang walaupun tindakan telah diambil pihak berwajib.

Subramaniam, 45, berkata, walaupun sistem pengaliran air menerusi longkang bawah tanah telah dinaik taraf pihak berwajib, namun ia gagal menyelesaikan masalah banjir kilat yang berlaku setiap kali hujan lebat.

“Sejak saya tinggal di sini pada 2007, masalah banjir kilat sering kali berlaku menyebabkan saya sendiri pernah mengambil inisiatif mengambil upah kontraktor untuk menyelesaikan masalah ini.

“Tapi nampaknya masalah tetap berlaku dan saya sekeluarga tidak sanggup lagi tinggal dalam keadaan tertekan setiap kali hujan lebat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini, semalam.

Tambah Subramaniam, dalam kejadian terbaharu pada 20 Mac lalu, air hujan melimpah setinggi 0.6 meter menyebabkan garaj rumahnya dipenuhi air serta tong sampah dihanyutkan air deras.

Kata Subramaniam, dia juga kini bimbang untuk meninggalkan rumah setiap kali hujan kerana khuatir kejadian lebih buruk berlaku.

“Masalah ini sudah lama dan apabila pihak berwajib mengambil tindakan baru-baru ini saya amat berterima kasih dengan harapan masalah ini tidak lagi menghantui kami sekeluarga.

“Ada enam lubang dibuat di sini bagi memudahkan pengaliran air ke dalam longkang bawah tanah, tapi malangnya masalah banjir kilat tetap berlaku,” katanya.

Sementara itu Adun Kepayang, Cha Kee Chin ketika melawat kawasan itu berkata, pihaknya bersama penduduk telah beberapa kali mengajukan masalah itu kepada pihak berwajib.

“Kali terakhir pada tahun lalu dan kita gembira apabila tindakan membuat lubang bagi tujuan pengaliran air siap dibina pada bulan lalu.

“Tapi ia langsung tidak memberi sebarang kesan apabila hujan turun baru-baru ini telah menyebabkan banjir kilat berulang,” katanya.

Kee Chin berkata, sebagai tindakan, pegawai khasnya telah  membuat aduan kepada pihak berkenaan semalam.

“Kakitangan mereka telah datang untuk mengenal pasti masalah yang berlaku dan saya berharap jalan penyelesaian dapat diambil,” katanya.

No comments:

Post a Comment