Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Bakteria dalam darah


Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengenal pasti tiga peniaga yang menyebabkan keracunan makanan lebih 100 pesakit sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak lima tahun mati.
Pengarahnya Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, tiga peniaga berkenaan disiasat dan pihaknya kini menunggu laporan penuh sebelum mendakwa tiga peniaga berkenaan mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Menurutnya, hasil bedah siasat Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilmie, 5, menemui bakteria Salmonella dalam badannya.
“Bakteria itu dikesan menerusi air tulang belakang serta darah dari saluran jantung kanak-kanak itu dan kami yakin punca kematiannya disebabkan bakteria berkenaan.
“Kami percaya bakteria berkenaan datang dari pasar malam di Dataran Shahbandar dan Jalan Hiliran.
“Buat masa ini, kita masih menunggu bukti dan ketiga-tiga peniaga pasar malam terbabit pasti berdepan hukuman sekiranya bakteria berkenaan dikesan di gerai mereka,” katanya yang ditemui ketika melawat pesakit yang mengalami keracunan makanan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.
Beliau berkata, operasi perniagaan ketiga-tiga peniaga terbabit diarah dihentikan sehingga siasatan JKNT selesai.
Sementara itu, seorang pesakit yang mengalami keracunan makanan, Kamarina Muhammad, 36, berkata, dia terkejut melihat keadaan wad di HSNZ sesak dengan pesakit yang keracunan makanan.
Menurut guru Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Berangan, Marang, itu, dua anaknya Khairiah Aleeya Azhar, 9, dan Khairim Asyraf Azhar, 11, turut mengalami gejala sama dengan pesakit lain apabila mengalami cirit-birit serta muntah dan kini terlantar di wad.
“Saya terpaksa mengambil cuti untuk menjaga dua anak yang terlantar di hospital dan ia dipercayai berpunca daripada bakteria yang terdapat dalam nasi goreng.
“Justeru, saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dan meminta orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli makanan di pasar malam kerana bimbang dijangkiti bakteria,” katanya.
Foto
DR Anwa (dua dari kiri) melawat pesakit yang mengalami keracunan makanan di HSNZ, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/05

No comments:

Post a Comment