Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Azizul dakwa hanya pukul anak di Afrika


STOCKHOLM 4 Mac - Bapa warga Malaysia yang sedang dibicarakan di Sweden kerana memukul anak-anaknya memberitahu bahawa dia hanya memukul anaknya sewaktu tinggal di Afrika Selatan dan Malaysia.
Azizul Raheem Awaludin mendakwa, dia pernah memukul anak-anaknya sebelum berpindah ke Sweden, iaitu keterangan yang bertentangan dengan kenyataan yang pernah diberitahu olehnya kepada pihak polis tempatan.
Pegawai Pendakwa, Anna Arnell menyatakan bahawa Azizul Raheem mengaku memukul anak-anaknya bagi mendisiplinkan mereka walaupun selepas pihak polis menjelaskan bahawa mereka hanya inginkan maklumat berkaitan kejadian yang berlaku di Sweden.
Lelaki terbabit kemudian memberitahu dia telah salah faham dengan soalan yang ditanya oleh pihak polis disebabkan rasa gugup.
"Ia merupakan kali pertama saya disoal siasat oleh pihak polis. Saya sangat gugup sehingga otak saya tidak dapat berfungsi dan saya rasa soalan yang ditanya bermaksud sama ada saya pernah memukul anak-anak saya sepanjang hidup mereka," katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Daerah Solna, semalam.
Memandangkan Sweden telah mengharamkan hukuman membabitkan fizikal sejak 1979, ini bermakna Azizul Raheem dan isterinya, Shalwati Norshal berhadapan dengan hukuman penjara maksimum enam tahun sekiranya didapati bersalah atas tuduhan memukul anak-anak mereka.
Arnell kemudian menyenaraikan berbelas insiden membabitkan kejadian memukul yang dibangkitkan oleh empat orang anak pasangan itu pada peringkat awal perbicaraan sebelum bertanya kepada Azizul Raheem sama ada kesemua kejadian itu berlaku di Sweden.
"Ya," jawab Azizul Raheem. Lelaki itu kemudian menjelaskan bahawa di Sweden, dia menjadi kurang tegas dan sekadar memukul meja atau meninggikan suara bagi mendapatkan perhatian anak-anaknya.
Apabila ditanya kenapa Azizul Raheem memohon satu sesi soal siasat diadakan selepas ditemu bual sebanyak lima kali sebelum itu (ada di antaranya tanpa kehadiran peguam), Pengarah Tourism Malaysia di Sweden itu menyatakan bahawa dia perlu menjelaskan beberapa kesilapan.
"Meneliti semula transkrip temu bual dengan peguam, saya dapati ada jawapan saya telah disalah tafsir," katanya.
"Macam mana pula boleh salah," soal pegawai pendakwa terbabit dengan nada sinis.
Azizul Raheem kemudian memberitahu mengenai contoh yang diberikan bahawa ibu bapa Muslim dibenarkan memukul anak mereka sekiranya tidak bersolat.
"Saya tidak akan melakukannya. Sekiranya mereka tidak bersolat, saya akan menyuruh mereka bersolat dengan saya," katanya. Shalwati pada ketika ini dilihat menganggukkan kepalanya.
Peguam, Jonas Tamm yang mewakili Azizul Rahem bertanya kepada anak guamnya itu mengenai perangai anak lelakinya, Ammar yang telah mengadu kepada kaunselor sekolah bahawa ibu bapanya telah memukulnya.
"Ammar lain sedikit. Dia suka mencari perhatian. Kalau mengambil bahagian dalam perbualan, dia akan berlagak seperti mengetahui semuanya dan kadangkala mengada-adakan cerita," katanya.
Ketika ditanya kenapa bapa kepada empat orang anak itu tidak lagi memukul anak-anaknya ketika di Sweden, Azizul Raheem menyatakan, hal demikian kerana kesemua anak-anaknya telah besar dan lebih mudah diuruskan berbanding sewaktu mereka tinggal di Afrika Selatan.
Perbicaraan bersambung esok dengan Shalwati dijangka memberi keterangan. - THE STAR


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140305/ma_03/Azizul-dakwa-hanya-pukul-anak-di-Afrika#ixzz2v2OeOQrZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment