Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Ayah bimbang anak lemas

NOOR FAIZAL GHAZALI
Ayah bimbang anak lemas
Pasukan bomba dan penyelamat sedang mencari dan menyelamat mangsa di sekitar Sungai Baru, semalam.
20 Mac 2014
 JITRA - Seorang lelaki dalam lingkungan usia 20-an dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam Sungai Baru, Jalan Wat Siam, dekat ini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, mangsa yang belum dikenalpasti identitinya dikatakan terjatuh secara tiba-tiba ke sungai yang mempunyai kedalaman lima meter itu.

Seorang saksi yang dikenali sebagai Ah Hock, 36, berkata, dia yang sedang menunggang motosikal di jalan berhampiran sungai itu terkejut apabila ternampak mangsa sedang terkapai-kapai di tengah sungai berkenaan.

“Apabila nampak saya tidak dapat buat apa-apa kerana mangsa tenggelam dengan begitu cepat, beberapa saat saja nampak tangan mangsa kemudian terus tenggelam.

“Kawasan ini merupakan jalan utama jadi memang ramai orang berada di kawasan berhampiran sungai, tetapi kami tidak dapat membantu mangsa kerana tidak tahu berenang tambahan pula sungai ini dalam,” katanya ketika kepada Sinar Harian, semalam.

Tambah Ah Hock, lelaki terbabit juga tidak menjerit meminta tolong dan hanya dalam keadaan terkapai-kapai.

“Saya nampak mangsa berambut pendek serta berkulit putih, mungkin mangsa berketurunan Cina,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk tempatan, Ahmad Suhaimi Md. Diah, 55, berkata, dia bimbang jika mangsa yang dikhuatiri lemas itu adalah anak lelaki keduanya yang tiba-tiba hilang dari rumah mereka yang terletak kira-kira 500 meter dari sungai tersebut.

“Anak lelaki saya orang kurang upaya (OKU) serta menghidap penyakit saraf dan berusia 28 tahun, isteri saya hanya sedar dia hilang dari rumah kira-kira pukul 1 tengah hari.

“Bila orang ramai beritahu ada mangsa yang mungkin lemas dalam sungai saya risau jika orang lemas itu anak saya. Isteri saya ingat dia sedang tidur dalam bilik, bila tengok tak ada.

“Selepas itu kami cari dia di sekitar rumah dan taman tetapi tak jumpa. Dua tahun lalu, saudara kembar anak saya juga maut akibat tergelincir ke dalam sungai ini ketika banjir besar melanda Jitra,” katanya.

Tambah Ahmad Suhaimi lagi, anak keduanya itu tidak pernah keluar rumah secara berseorangan

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan daripada orang awam kira-kira pukul 10.57 pagi dan operasi mencari serta menyelamat dimulakan pada pukul 11.05 pagi.

“Sehingga kini pihak bomba masih berusaha mencari mangsa dan operasi akan diteruskan sehingga mangsa ditemui,” katanya.

No comments:

Post a Comment