Search This Blog

Sunday, March 30, 2014

Anak temui ibu mati terduduk


ASWANY OMAR
30 Mac 2014


Anak temui ibu mati terduduk
 Mayat mangsa yang lengkap berpakaian ditutup dengan kain sebelum dihantar ke HTAA


KUANTAN - Seorang wanita warga emas ditemui mati terduduk di atas sebuah kerusi di sebuah rumah ibadat di Kampung Tiram dekat sini, semalam.

Mayat Wong Jooi Moi, 64, ditemui sendiri oleh anak lelakinya yang bergegas pulang selepas panggilan telefon tidak dijawab oleh wanita tersebut.

Lelaki terbabit  yang tinggal di Subang Jaya, Selangor dikatakan sudah tiga hari menghubungi Jooi Moi untuk mengajaknya membersihkan kubur bapanya.

Bagaimanapun panggilan telefonnya itu tidak berjawab menyebabkan dia mengambil keputusan untuk segera pulang ke kampung.

Sebaik tiba di rumah ibadat itu lelaki terbabit beberapa kali memanggil nama mangsa namun tiada jawapan.

Dia kemudiannya mengintai di celah pagar dan melihat mayat ibunya terduduk atas kerusi plastik.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff tidak mengaitkan kematian itu dengan unsur jenayah sebaliknya mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

Menurutnya, polis menerima panggilan dari anaknya dan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bergegas ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan.

“Polis menemui mayat wanita itu dalam keadaan terduduk di atas kerusi dan berpakaian lengkap dan dihantar Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, hasil siasatan dan keterangan daripada jiran wanita itu juga mendapati, dia tinggal seorang diri kerana anaknya bekerja di Selangor.

No comments:

Post a Comment