Search This Blog

Sunday, March 30, 2014

Anak acu parang ugut bunuh


Dungun: Seorang bapa tidak menyangka niat baiknya cuba meleraikan pertengkaran antara anak dan menantunya bukan saja tidak dapat diterima si anak, malah diugut bunuh dengan parang di sebuah kedai di kawasan masjid di Rantau Abang, di sini, kelmarin.

Menurut sumber, kejadian dipercayai jam 2 petang ketika bapa berusia 70 tahun itu berniaga menjual air di kawasan masjid bersama menantunya berusia 20-an.


Katanya, ketika itu anak lelaki berusia 28 tahun datang sebelum memarahi menantu mangsa yang berniaga bersama mangsa, dipercayai kerana perselisihan faham.

“Melihat anak lelakinya mengamuk bagaikan orang gila selain bimbang pertengkaran itu mengganggu jemaah masjid, mangsa cuba meleraikan pergaduhan itu dengan menasihatkan suspek supaya berbincang di rumah.


“Nasihat mangsa bukan saja tidak diendahkan, malah mengundang kemarahan suspek apabila cuba menyerang mangsa dan isterinya dengan sebilah parang.


“Suspek bukan saja memaki hamun warga emas itu malah mengugut membunuh mangsa dan isterinya sebelum meninggalkan tempat kejadian,” katanya.

Sumber berkata, mangsa mengesyaki anaknya bertindak sedemikian selepas dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.


Katanya, walaupun tidak cedera, mangsa yang bimbang keselamatan diri serta menantu dan ahli keluarga lain nekad membuat laporan polis.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

No comments:

Post a Comment