Search This Blog

Sunday, March 30, 2014

6 warga asing, pemandu teksi ditahan Imigresen

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 warga asing, pemandu teksi ditahan Imigresen
Antara lelaki yang ditahan Imigresen Johor. 
30 Mac 2014
JOHOR BAHRU - Tujuh lelaki ditahan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor dalam operasi di Plaza Tol Penawar, Kota Tinggi, 27 Mac lalu.

Ops Pemantauan Penyeludupan Imigran Zon Pantai Timur sekitar jam 5.20 petang itu disertai enam anggota diketuai Penyelarasnya, Masri Adul yang juga Timbalan Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Johor.

Masri berkata, tujuh tangkapan terbabit melibatkan enam lelaki warga Indonesia berusia 24 hingga 44 tahun dan seorang pemandu teksi warga tempatan berumur 31 tahun.
Menurutnya, semasa membuat pemantauan dan pemerhatian terhadap kenderaan yang melalui Plaza Tol Penawar, terdapat sebuah teksi sarat dengan penumpang melebihi syarat dibenarkan.

“Terdapat lima orang duduk di tempat duduk belakang dan seorang duduk di hadapan bersebelahan dengan pemandu.
“Hasil pemeriksaan, lima orang gagal mengemukakan dokumen perjalanan, manakala seorang telah tinggal lebih masa,” katanya, semalam.

Masri berkata, kesemua ditahan disiasat di bawah Akta imigresen 1959/63, manakala pemandu teksi disiasat di bawah Akta Atipsom 2007.

Katanya, dari pengakuan mereka yang ditahan, warga asing terbabit mengaku hendak pulang ke Indonesia melalui jalan tikus di sekitar Pantai Pengerang.

“Mereka juga mengaku telah membayar kepada tekong sebanyak RM650 hingga RM1200.

“Ada di antara mereka yang datang dari Pahang dan Kuala Lumpur dengan menaiki bas ke stesen bas dan teksi yang dipercayai sudah dirancang sedia menunggu untuk membawa mereka ke destinasi ditetapkan,” katanya.

Masri percaya pemandu teksi terbabit bersekongkol dengan tekong kerana sanggup menyalahi peraturan dan undang-undang yang mewajibkan hanya empat penumpang sahaja yang dibenarkan dibawa pada satu masa.

Beliau menasihatkan kepada orang awam supaya tidak sesekali membenarkan pendatang asing tanpa izin (Pati) berada di dalam kenderaan dan premis kediaman kerana tindakan tegas akan diambil.

No comments:

Post a Comment