Search This Blog

Saturday, March 8, 2014

4 pengurus dijel 7 hari


Oleh Sarah Zulkifli

Empat pengurus kedai runcit termasuk tiga warga asing masing-masing dipenjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini, terhadap tuduhan memiliki rokok seludup berjumlah 5,668 batang, Selasa lalu.

Mereka adalah dua warga Indonesia, Heri Fadli, 23, dan Nasrullah, 19, seorang warga India, Kader Ebramza Abupackar, 39, dan warga tempatan, Shajahan Am Ismail, 39.



Majistret Mohd Fadli Yaacob menjatuhkan hukuman itu apabila semua tertuduh mengaku bersalah sebaik tuduhan dibacakan.

Mahkamah turut mendenda semua tertuduh dengan Heri sebanyak RM1,000, Nasrullah (RM2,000), Kader (RM600) dan Shajahan (RM5,000) selain memerintahkan masing-masing dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Foto
DARI kiri, Ebramza, Nasrullah, Shajahan dan Heri dibawa ke Mahkamah Majistret Klang.


Selain itu, mahkamah juga memerintahkan tiga tertuduh yang juga warga asing diusir keluar dari negara ini.


Mengikut kertas tuduhan yang dibacakan secara berasingan, semua tertuduh didakwa memiliki rokok seludup dengan jumlah keseluruhan 359 kotak bernilai RM524.68 antara jam 10.30 hingga 11.30 pagi, 4 Mac lalu.

Perbuatan itu dilakukan semua tertuduh di tiga premis perniagaan di Apartmen Sri Bayu, Apartmen Sri Angkasa, Bayu Perdana dan Taman Chi Liung, Pelabuhan Klang.

Mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, sekumpulan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memeriksa tiga premis itu sebelum menemui rokok seludup berkenaan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa KDRM Mazliza Abdul Hamid memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan alasan kes itu mempunyai kepentingan awam.

Bagaimanapun, Heri Fadli dan Nasrullah yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman mereka dengan hanya mengenakan denda.

Selain itu, Shajahan yang juga tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukumannya dengan alasan mempunyai tiga anak dan ibu yang perlu dijaga manakala Kader mempunyai anak di negara asalnya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Khazali Ahmad dipetik sebagai berkata, pihaknya akan melumpuhkan kegiatan pengedaran rokok seludup melalui Op Outlet.

Menurutnya, pada tahun ini pihaknya dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain akan memperhebatkan operasi dan 2014 juga disifatkan sebagai ‘tahun tindakan’ bagi melumpuhkan rantaian aktiviti penyeludupan rokok.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

No comments:

Post a Comment