Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

30 minit kawal kebakaran

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 minit kawal kebakaran
Anggota bomba memadamkan kebakaran hutan dekat Taman Tengku Anis, kelmarin.
5 Mac 2014

RANTAU PANJANG – Pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas serta Rantau Panjang mengambil masa 30 minit untuk mengawal kebakaran hutan melibatkan keluasan hampir 50 hektar, kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penolong Penguasa Bomba Mohamed Adenan Said berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang, kelmarin.Menurutnya, 12 anggota daripada kedua-dua balai menggunakan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.
“Kebakaran melibatkan dua kawasan berasingan iaitu kawasan hutan belukar dekat Taman Tengku Anis dan Gual Mesa.

“Faktor kemarau dan pokok kering menyebabkan api marak dengan cepat. Operasi memadamkan kebakaran berakhir sepenuhnya jam 9 malam tadi (kelmarin)," katanya.

Bagaimanapun Mohamed Adenan berkata, pemantauan akan diteruskan selama 24 jam bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Walaupun api berjaya dikawal, saya nasihatkan pengguna jalan raya berhati-hati kerana asap kebakaran boleh mengganggu laluan trafik terutama waktu malam.

"Mereka juga diingatkan supaya tidak membuang puntung rokok keluar dari kenderaan kerana ia boleh mencetuskan kebakaran hutan di sepanjang Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sepanjang musim kemarau bermula Januari lalu, pihaknya menerima 24 laporan berkaitan kebakaran hutan.

"Namun, kejadian terbaru ini adalah yang terbesar melibatkan kawasan hutan belukar seluas lebih 50 hektar," katanya.

No comments:

Post a Comment