Search This Blog

Sunday, March 16, 2014

28 warga Turki ditahan

28 warga Turki ditahanKanak-kanak dan bayi warga Turki antara ditahan sekitar Bukit Kayu Hitam, semalam. - Foto Danial Noordin/BH]

Pendatang ditemui keletihan menyusup ikut pagar sempadan

Bukit Kayu Hitam: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 menahan 28 pendatang haram warga Turki di pos kawalan M2, Kedah/Perlis, di sini berhampiran pagar sempadan Malaysia-Thailand, pagi semalam.

Difahamkan, semua pendatang itu berjalan melalui hutan berhampiran dari negara jiran sebelum menyusuri ladang getah untuk masuk ke negara ini melalui pagar sempadan, di sini.

Ketika ditahan, kebanyakan pendatang dalam keletihan dan lapar, malah kanak-kanak pula ada yang cedera ringan selain pakaian koyak dipercayai akibat meredah hutan sebelum tiba di lokasi.

Penolong Pegawai Pemerintah PGA Batalion 3 Bidor, Deputi Superintendan S Sivanganam (gambar), berkata anggotanya diketuai Inspektor Jonathan Putra Laum yang meronda di kawasan itu, terlihat sekumpulan pendatang terbabit berjalan kaki selepas berjaya memasuki pagar sempadan jam 9 pagi.

Katanya, berdasarkan siasatan mereka dipercayai ada kaitan keluarga dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan masuk ke negara ini.

12 lelaki, 8 wanita
“Seramai 12 daripada mereka adalah lelaki dewasa dan lapan wanita berusia antara 16 hingga 47 tahun, serta lapan kanak-kanak dan bayi berusia antara tiga bulan hingga tujuh tahun,” katanya.

Sivanganam berkata, pihaknya sukar mendapatkan maklumat dari mana dan siapa yang membawa pendatang Turki itu masuk kerana mereka tidak tahu berbahasa Inggeris atau Melayu.

“Namun, kita tidak menolak berkemungkinan mereka datang dari Turki menaiki kapal laut bersama 62 pendatang yang ditahan anggota kami di sempadan Malaysia-Thailand di Chuping, Khamis lalu.

“Kumpulan ini mungkin bergerak berasingan mengikut tekong yang menguruskan kemasukan mereka berikutan penemuan tali biru pada tangan masing-masing. Ia menjadi tanda antara mereka dengan tekong berkenaan,” katanya.

Sivanganam berkata, mereka dihantar ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu selepas dibuat laporan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

“Ini tangkapan kedua membabitkan pendatang Turki bagi kami dan kes pertama di sini. Namun, kita masih menyiasat kenapa kumpulan itu memilih untuk menyeludup masuk ke Malaysia sehingga sanggup merentasi beberapa negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment