Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

200 kes kebakaran dilapor

NURUL HUDA HUSAIN
200 kes kebakaran dilapor
Anggota bomba sukarela bertungkus lumus memadam kebakaran belukar berhampiran kawasan perindustrian Gong Badak. - Foto Sinar Harian 
19 Mac 2014
KUALA NERUS - Pasukan Bomba Sukarela Sri Nerus merekodkan peningkatan mendadak dalam kes kebakaran dengan 200 kejadian dilaporkan mulai Januari lalu hingga semalam.

Pengerusinya, Mohd Ariff Tengah berkata, pihaknya menerima sehingga 10 kes kebakaran setiap hari membabitkan hutan, belukar, lalang dan sebagainya berikutan kemarau yang melanda negara sejak dua bulan lalu.

“Apa yang berlaku tahun ini agak luar biasa (kebakaran) kerana dalam tempoh tidak sampai dua bulan, kita telah merekodkan sebanyak 200 kes sehingga hari ini (semalam) dan jumlahnya dijangka bertambah berikutan cuaca kering ini.

“Malah, pihak kami terpaksa mengagihkan ahli kepada tiga kumpulan bagi memudahkan gerakan operasi, di mana dalam tempoh tidak sampai satu jam kejadian kebakaran dilaporkan kepada pihak kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Ariff berkata, walaupun berdepan kekangan peralatan yang tidak mencukupi, ia tidak mematahkan semangat anggota bertugas.

Menurutnya, dalam tempoh dua bulan ini, kebanyakan anggota terpaksa dipanggil bertugas lebih masa bagi memastikan usaha untuk memadam kebakaran dapat dilakukan sebaiknya.

“Jika terdapat banyak laporan mengenai kebakaran dalam tempoh yang sama, kita terpaksa membuat pilihan ke lokasi kebakaran yang berdekatan dengan kediaman penduduk terlebih dahulu bagi memastikan api tidak mengancam rumah berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan kes kebakaran bertambah sekiranya cuaca panas dan kering ketika ini berterusan.

“Jadi kami ingin mengingatkan kepada orang ramai agar mengelak melakukan pembakaran terbuka kerana dalam keadaan cuaca tidak menentu ini memungkinkan apa sahaja berlaku," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut terlibat dalam operasi kebakaran hutan tanah gambut di Lembah  Bidong dan sehingga kini arahan untuk memantau lokasi berkenaan masih kekal.

No comments:

Post a Comment