Search This Blog

Monday, March 31, 2014

20 kucing mati disyaki diberi racun


Segamat: Sebahagian penduduk Kampung Taman Seri Waja di Kampung Jawa, di sini, mahu pihak berkaitan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang memberi racun kepada 20 kucing menyebabkan haiwan itu mati dalam kejadian minggu lalu.

Tindakan itu dianggap zalim dan menganiaya binatang serta tidak berperikemanusiaan.

Dalam kejadian itu, 20 kucing berusia antara satu dan empat tahun ditemui mati dipercayai diracun.

Seorang penduduk, Halipah Maarof, 63, pihaknya mahu pihak berkaitan dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit.

Dia mendakwa ada pengusaha inap desa memaklumkan akan memberi makanan mengandungi racun jika penduduk di kampung itu tidak menjaga kucing mereka yang didakwa sering mengotorkan kawasan inap desa terbabit.

“Saya ingatkan kata-kata itu sebagai gurauan saja, bagaimanapun Ahad minggu lalu, kira-kira jam 4.30 petang, beberapa kucing didapati berdarah di mulut dipercayai selepas makan nasi bersama ikan yang diletakkan dalam satu bekas berhampiran halaman inap desa berkenaan.

“Akibat kejadian itu, tujuh kucing saya mati, malah ada jiran yang turut mendapati kucing masing-masing yang dijumpai mati dalam parit dan longkang di sekitar Taman Seri Waja,” dakwanya.

Halipah berkata, penduduk kampung kemudian membuat keputusan untuk menghantar sampel makanan terbabit di Pejabat Veterinar Daerah, petang semalam dan menunggu hasil keputusan sebelum bercadang membuat laporan polis dalam tempoh terdekat.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

No comments:

Post a Comment