Search This Blog

Sunday, March 16, 2014

2 pemain bola sepak SMK Tanah Merah maut


NURULATIQ AHMAD BANDI
16 Mac 2014

Kereta rempuh motosikal
Kereta rempuh motosikal Polis melakukan siasatan di lokasi kemalangan.
Dnish Kumar
Dnish Kumar

G Kevinnesan
G Kevinnesan

LUKUT – Dua pemain bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah maut dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Lukut-Sepang, malam kelmarin.
Ketika kejadian, kedua-dua mereka berusia 17 tahun sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bermain bola sepak.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.25 malam membabitkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan sebuah kereta jenis Proton Wira.

“Mangsa yang maut di tempat kejadian ialah penunggang motosikal, G Kevinnesan dan pemboncengnya, G Dnish Kumar manakala  pemandu kereta seorang lelaki berusia 37 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian muka, tangan dan badan.

“Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan lanjut manakala mangsa yang maut di bawa ke Bilik Mayat HPD untuk dibedah siasat,” katanya.

Abd Wahab berkata, siasatan awal polis mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Lukut telah masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh motosikal yang datang dari arah Sepang.

“Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa, A Bala Ganesh, 19, berkata, kedua-dua mangsa adalah rakan karib dan mereka mewakili daerah Port Dickson  dalam bola sepak.

“Kami baru sahaja bermain bola sepak di padang Tanah Merah Site C bersama beberapa lagi rakan yang lain. Setiap hari kami akan berlatih di situ dan kedua-dua mendiang akan pulang bersama kerana tinggal di  taman yang sama.

“Selepas sesi latihan kami sempat bersembang, namun dalam perjalanan balik ke rumah di taman yang sama, saya terkejut mendapati mereka berdua terlibat dalam kemalangan.

"Kejadian itu berlaku tidak sampai lima minit selepas kami bersembang di padang," katanya.

Tambahnya, dia yang tergamam terus menghubungi keluarga kedua-dua mangsa untuk memaklumkan kejadian itu.

No comments:

Post a Comment