Search This Blog

Sunday, March 16, 2014

17 rumah musnah sekelip mata

ASYRAF MUHAMMAD
17 rumah musnah sekelip mata
Keadaan rumah penduduk yang hangus dalam kebakaran di Jalan Bukit Badak, Kampung Melayu Subang, semalam. 
16 Mac 2014
SUBANG - “Saya hanya sempat bawa keluar dokumen penting saja.” Itu rintihan salah seorang mangsa, Selvarani Subramaniam, 34, selepas rumahnya hangus dalam kebakaran yang berlaku di Jalan Bukit Badak, Kampung Melayu Subang, semalam.

Kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu melibatkan sebanyak 17 buah rumah.

Selvarani berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terdengar salah seorang jirannya menjerit supaya keluar dari rumah dan ketika itu keadaan api semakin marak.

“Saya terus keluar bila terdengar jeritan dia. Saya nampak asap sangat tebal. Kerana risau kandungan saya ini, saya hanya sempat ambil dokumen-dokumen penting saja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Selvarani, buat sementara waktu, dia bersama semua mangsa ditempatkan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Subang bagi memberi ruang kepada kerja-kerja siasatan oleh pihak  bomba.

Dia yang kini tinggal sehelai sepinggang memberitahu kerugian yang dialami mereka sekeluarga membabitkan sebanyak RM20,000.

“Banyak barang-barang yang musnah. TV LED, dua buah motosikal, barang kemas, barang persekolahan anak-anak dan macam-macam lagi,” katanya.

Sementara itu, seorang remaja, Jaramaya Vijayaveeran, 23, memberitahu ketika kejadian dia tiada di rumah kerana bertemu rakan.

Dia terkejut selepas dimaklumkan salah seorang rakan mengenai kejadian itu dan bergegas pulang untuk melihat keadaan rumahnya.

“Ketika sampai, saya tengok api besar. Bomba juga sedang usaha padamkan kebakaran,” katanya.


Bomba hadapi kesukaran

Penguatkuasa Kanan Bomba II (PgKB II), Ahmad Zaidi Safuan berkata, pihaknya mendapat panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu sekitar jam 12.24 tengah hari dan sepasukan anggota penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengawal api kebakaran.

Menurut Zaidi, pihaknya terpaksa berhadapan dengan kesukaran bagi memadamkan api disebabkan keadaan catuan air yang sedang berlaku di kawasan berkenaan.

“Bekalan air di sini tiada, jadi sedikit kesukaran terpaksa dihadapi anggota penyelamat dan pihak kami mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengawal api,” katanya.

 Disebabkan oleh ketiadaan bekalan air, pihaknya terpaksa memohon bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Selayang bagi membekalkan ‘trailer tanker’ untuk memudahkan kerja-kerja pemadaman api.

Kata Zaidi, anggota forensik bomba sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca utama berlakunya kebakaran ini.

Pihaknya juga masih menjalankan siasatan terperinci berhubung jumlah kerugian yang ditanggung setiap mangsa.

“Siasatan terperinci sedang giat dijalankan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya.

Menurut Zaidi, struktur rumah di kawasan itu yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api mudah merebak dan melibatkan rumah-rumah berhampiran.

Pihaknya menggunakan kekuatan anggota seramai 24 orang melibatkan jentera dari Balai Bomba Kota Anggerik dan Balai Bomba Sungai Buloh.

“Buat masa sekarang, semua mangsa akan ditempatkan di Dewan MBSA Subang bagi membolehkan siasatan terperinci dapat dijalankan selepas ini,” katanya.

Difahamkan, anggota penyelamat daripada skuad Pantas MBSA turut turun padang bagi membantu dalam menjalankan kerja-kerja menyelamat.

No comments:

Post a Comment