Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

15 rumah penduduk rosak teruk


KUALA KANGSAR 4 Mac - Sebanyak 15 buah rumah di tiga buah kampung di sini mengalami kerosakan apabila angin kencang menerbangkan sebahagian daripada atap rumah penduduk di situ.
Dalam kejadian pukul 6 petang itu, tiga kawasan yang terlibat ialah Kampung Baru Jerlun, Taman Seri Emas dan Rancangan Perumahan Awam 4.
Seorang mangsa, Lau Kong Sui, 71, yang tinggal di Kampung Baru Jerlun bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami kecederaan meskipun hampir separuh atap rumahnya diterbangkan angin kencang.
Katanya, ketika kejadian, beliau hanya duduk di dalam rumah serta tidak berani keluar kerana bimbang tiupan angin yang kencang mendatangkan bahaya dan kecederaan kepadanya.
"Masa angin kuat, saya nampak atap rumah di bahagian dapur sudah diterbangkan angin, hilang dan ada yang jatuh. Saya terus lari ke ruang tamu dan hanya duduk di situ kerana terlalu takut.
"Lebih kurang 10 minit baru angin kencang itu beransur reda. Bila saya keluar rumah, saya nampak atap di bahagian hadapan rumah juga sudah tercabut," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Sementara itu, seorang remaja, Mohd. Imran Mohd. Sholeh, 22, terkejut apabila bunyi kuat yang disangkanya guruh adalah bunyi batu-bata jatuh ke dalam rumahnya.
"Masa itu saya baharu mahu pergi mandi sebelum saya dengar bunyi kuat. Saya ingatkan bunyi guruh tetapi apabila saya mahu ke bilik air, saya nampak atap dan siling rumah sudah pecah.
"Apabila saya tengok bawah, saya jumpa satu lagi batu-bata. Saya rasa batu itu jatuh ke dalam rumah kerana diterbangkan angin. Nasib baik saya lambat mandi, kalau tidak mungkin batu itu jatuh atas kepala saya," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140305/wu_02/15-rumah-penduduk-rosak-teruk#ixzz2v2PIZh5o
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment