Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

12 tahun simpan pistol


Oleh Rasmi Abdullah
Banting: Dua penjenayah bersenjatakan pistol berjaya diberkas polis kira-kira enam jam selepas merompak seorang pengurus restoran di sebuah rumah di Sungai Jarom, di sini.

Suspek berusia 30-an itu yang juga pengedar dadah ditahan anggota polis Daerah Kuala Langat jam 8.30 pagi kelmarin selepas operasi memburu suspek dilakukan secara besar-besaran.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abdul Razak berkata, kumpulan penjenayah sebelum itu dikesan merompak mangsa yang sedang membuka pintu pagar rumahnya jam 2 pagi kelmarin.

Menurutnya, mangsa berusia 52 tahun yang diacukan pistol di kepala kemudian dipaksa masuk ke dalam rumah sebelum diikat menggunakan wayar bersama isteri dan anak lelakinya.

“Suspek kemudian menggeledah kediaman itu sebelum melarikan diri bersama telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa.

“Sepasukan anggota polis diketuai Inspektor Mohd Azan Saranon yang dimaklumkan berhubung kejadian itu segera melakukan gerakan memburu suspek.



Penjenayah akhirnya dikesan bersembunyi di sebuah rumah kedai di Bandar Parkland, Klang, di sini, jam 8.30 pagi kelmarin,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Beliau berkata, polis kemudian melakukan serbuan sebelum berjaya menahan kedua-dua suspek.

“Hasil pemeriksaan polis menemui sepucuk pistol model Glock bersama dua butir peluru yang disorokkan di bahagian pinggang hadapan suspek berusia 35 tahun itu.

“Lelaki itu mengaku menyimpan senjata api terbabit sejak 12 tahun lalu tanpa lesen senjata api yang sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

No comments:

Post a Comment