Search This Blog

Friday, February 21, 2014

Warga Vietnam didakwa simpan, eksport biawak


ALOR SETAR 20 Feb. - Seorang lelaki Vietnam yang baru memiliki cahaya mata kedua 20 hari lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat tuduhan menyimpan dan mengeksport dua jenis biawak dilindungi yang telah mati dan beberapa bahagian hidupan itu tanpa permit khas, Ahad lalu.
Quach Van Mung, 34, didakwa melakukan kesalahan itu di Check Point C, Kompleks Bukit Kayu Hitam dekat sini kira-kira pukul 7.45 pagi, 16 Februari lalu.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Quach didakwa menyimpan dan mengeksport seekor biawak tikus (Varanus Nebulosus) yang telah mati iaitu sejenis hidupan liar dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 tanpa permit khas.
Pertuduhan menyimpan bangkai biawak tikus itu, dikemukakan mengikut Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan mengeksport pula, dia didakwa mengikut Seksyen 71 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM30,000 dan maksimum RM100,000 serta boleh dipenjara sehingga tiga tahun.
Pertuduhan ketiga dan keempat pula, Van Mung didakwa menyimpan dan mengeksport dua ekor biawak air (Varanus Salvator) dan bahagian hidupan itu yang merupakan sejenis hidupan liar dilindungi di bawah akta tersebut tanpa permit khas.
Bahagian biawak air yang didakwa disimpannya itu terdiri daripada empat kepala, 20 kaki, lima ekor dan tujuh kulit.
Pertuduhan menyimpan biawak air dan bahagian hidupan itu dikemukakan mengikut Seksyen 60(1)(b) akta tersebut yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan mengeksport pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 65 akta sama yang sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 serta boleh dipenjara maksimum setahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Kamarul tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh adalah warga asing dan kemungkinan tertuduh akan meninggalkan negara ini pada bila-bila masa.
Peguam Mohd. Hezeri Harun yang mewakili tertuduh pula memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin memandangkan tertuduh telah berkahwin dengan wanita tempatan dan mempunyai seorang anak berusia lima tahun dan seorang lagi berumur 20 hari.
Hakim Azhar Mokhtar membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan serta pasport tertuduh diserah kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Sebutan kes ditetapkan pada 12 Mac ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140221/ma_07/Warga-Vietnam-didakwa-simpan-eksport-biawak#ixzz2tteT9EKM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment