Search This Blog

Friday, February 28, 2014

Wanita Sri Lanka diculik 72 jam


2014/02/28

Kuala Lumpur: Penderitaan seorang wanita warga Sri Lanka yang diculik selama 72 jam berakhir selepas diselamatkan polis di sebuah rumah di Wangsa Maju awal pagi semalam.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata mangsa yang berusia 20 tahun itu dipercayai baru tiba ke ibu negara untuk melanjutkan pelajaran.


Minta wang tebusan


“Bagaimanapun, dia dipercayai diperdaya tiga lelaki warga tempatan dan asing yang menyamar sebagai ejen menguruskan pembelajaran mangsa sebelum diculik di Batu Caves, Isnin lalu.

“Suspek dikatakan memaksa mangsa untuk menghubungi keluarganya di Sri Lanka dan meminta wang tebusan RM10,000 bagi membebaskannya,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Abdul Rahim berkata, mangsa dikurung di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Wangsa Ceria 8, Wangsa Maju sepanjang diculik.
Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak dimaklumkan mengenai penculikan mangsa pada Selasa lalu oleh INTERPOL selepas keluarga mangsa membuat laporan polis di Colombo.

Susulan maklumat itu, katanya, polis menjejaki suspek berdasarkan nombor telefon yang digunakan suspek ketika menghubungi keluarga mangsa.

“Polis mengesan dan menahan dua suspek di Selayang semalam (kelmarin).

“Soal siasat ke atas mereka membawa kepada suspek ketiga di kediamannya di Wangsa Maju yang dijadikan lokasi mengurung mangsa.

“Suspek terakhir ditahan jam 1.30 pagi tadi (semalam). Mangsa ditemui selamat walaupun trauma dengan kejadian itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment