Search This Blog

Sunday, February 2, 2014

Wanita Perancis antara lima ditahan, 36 batang pokok ganja dirampas


KOTA KINABALU 1 Feb. - Seorang wanita warga Perancis antara lima yang ditahan bersama 36 batang pokok ganja gred A dalam serbuan di dua unit kondominium di Signal Hill, Bukit Bendera, dekat sini, Rabu lalu.
Suspek berusia 30-an itu ditahan bersama seorang lelaki warga tempatan berusia 20-an, oleh sepasukan anggota Op Cantas Khas Narkotik di sebuah unit kediaman tersebut pukul 11.30 pagi.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 29 batang pokok ganja termasuk 10 batang daripadanya yang telah siap dipotong untuk diproses.
Katanya, susulan itu, polis melakukan serbuan kedua di sebuah unit kondominium di kawasan sama pada pukul 1.10 petang.
"Di situ, polis merampas tujuh lagi pokok ganja termasuk dua yang siap dipotong. Turut dirampas satu peket seberat 500 gram dadah jenis ganja.
"Polis juga menahan dua lelaki berusia 20-an dan seorang wanita, dipercayai pembantu rumah," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Tambah Hamza, hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah kecuali pembantu rumah terbabit.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 6B Akta Dadah Kebangsaan kerana menanam pokok ganja dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya kerana positif dadah.
Sementara itu, Hamza memberitahu, wanita warga Perancis tersebut dipercayai telah berada di negara ini sejak lebih setahun lalu.
"Polis menyiasat sama ada ganja itu dijual untuk pasaran tempatan atau luar negara, selain menghantar sampelnya ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.
"Kes menanam pokok ganja dalam kondominium merupakan yang pertama di negara ini. Semua pokok itu jenis gred A kerana mengunakan baja berkualiti tinggi.
"Pokok-pokok ganja setinggi 1.2 meter itu dipercayai sudah berusia empat bulan dan sedia untuk dituai jika mencapai ketinggian 1.8 meter," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140202/je_09/Wanita-Perancis-antara-lima-ditahan-36-batang-pokok-ganja-dirampas#ixzz2s8BsVsVf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment