Search This Blog

Friday, February 28, 2014

Wanita diculik 72 jam berjaya diselamatkan



ANGGOTA polis membawa keluar seorang wanita warga Sri Lanka (kiri) dari sebuah rumah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, malam semalam.
KUALA LUMPUR 27 Feb. - Penderitaan seorang wanita warga Sri Lanka yang diculik selama 72 jam berakhir apabila dia diselamatkan di sebuah rumah di Jalan Wangsa Ceria 8, Wangsa Melawati, malam tadi.
Mangsa, Rashikala Rajakumar, 20, diselamatkan kira-kira pukul 11.30 malam selepas anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak menyerbu rumah dua tingkat terbabit hasil risikan dan maklumat awam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, perbuatan tiga suspek itu terbongkar selepas salah seorang saudara mangsa membuat laporan polis di Selayang empat hari lalu.
Beliau berkata, mangsa telah dipaksa dan ditarik masuk ke dalam kereta jenis Proton Wira sewaktu berada di Batu Caves dan saudaranya menerima panggilan daripada seorang suspek yang memintanya memasukkan wang berjumlah RM8,500.
"Mangsa baru sahaja tiba di negara ini untuk melanjutkan pelajaran.
"Bagaimanapun dia diperdaya suspek yang berpura-pura menyamar sebagai agen untuk menguruskan pembelajaran mangsa sebelum menculiknya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Abdul Rahim, serbuan di rumah terbabit bukan sahaja menemui mangsa yang dicari tetapi turut memberkas dua suspek yang merupakan warga Sri Lanka dan India.
"Dua suspek yang ditangkap berusia dalam lingkungan 30-an dan mempunyai dokumen perjalanan yang sah," jelasnya.
Sementara itu, Abdul Rahim memberitahu, hasil soal siasat yang dijalankan, seorang lagi suspek di tahan di Pangsapuri Sri Gotong, Batu Caves.
"Turut ditemui sebuah telefon bimbit jenama Samsung dan satu kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) .
"Kesemua suspek ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140228/je_05/Wanita-diculik-72-jam-berjaya-diselamatkan#ixzz2uYyoyZFa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment