Search This Blog

Thursday, February 27, 2014

Tukang emas dakwa lelaki badan gempal jual lima barang kemas


SHAH ALAM 26 Feb. - Seorang tukang emas memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa seorang lelaki berbadan gempal dan berkulit cerah datang ke kedainya untuk menjual lima jenis barang kemas dengan alasan dia memerlukan wang kerana ibunya sedang sakit.
Lim Eng Huat, 55, berkata, lelaki yang datang seorang diri itu membawa lima barang kemas iaitu dua utas rantai leher dan tiga urat gelang tangan daripada jenis emas paun dan emas 916.
Menurut saksi pendakwaan ke-10 itu, sebelum itu, dia ada meminta resit asal pembelian barang kemas tersebut daripada lelaki berkenaan namun lelaki itu menyatakan, barang itu sudah lama dibeli dan tiada resit disimpan.
Oleh kerana kasihankan lelaki itu, Eng Huat berkata, dia bersetuju membeli emas berkenaan pada harga RM6,200 dengan syarat lelaki itu menyerahkan salinan kad pengenalan sebagai rekod dan menandatangani borang jualan.
Pemilik kedai emas yang terletak di Pandan Indah itu menyatakan demikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin dalam perbicaraan kes bunuh pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena, 23, dan bapanya, Omar Peter Abdullah, 56.
Mengikut pertuduhan, empat bekas pelajar KTAC, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, Azizi Aizat Ibrahim, 22, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, didakwa membunuh dua beranak tersebut di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong.
Mereka didakwa membunuh Zara Eleena yang merupakan orang kurang upaya (OKU) antara pukul 1.30 pagi dan pukul 2.30 pagi, 9 Mac 2012 dan bapanya yang juga pesara syarikat kewangan antara pukul 11.30 malam, 8 Mac 2012 dan 1.30 pagi keesokannya.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Eng Huat kemudian diminta mengecam wajah lelaki yang dimaksudkannya itu dan saksi itu membuat pengecaman bahawa lelaki itu adalah tertuduh ketiga, Azizi Aizat Ibrahim atau dikenali sebagai Boy.
Disoal mengenai apa yang dilakukan dengan barang kemas itu selepas dibeli, Eng Huat berkata, lebih kurang seminggu kemudian, dia meleburkan dua daripada gelang tangan itu menjadi ketulan emas.
Ujarnya, beberapa minggu selepas itu, sepasukan pihak polis datang ke kedainya bersama Boy bertanyakan tentang semua barang kemas tersebut.
"Saya cam lelaki yang datang menjual sebelum ini ada bersama polis ketika itu. Ketika itu saya tidak tahu kenapa mereka datang.
"Pihak polis mahu melihat rekod saya, saya mengesahkan ada membeli barang daripada lelaki itu selain menunjukkan barang kemas yang sudah dileburkan sebelum ia diambil oleh pihak polis,'' katanya.
Perbicaraan di hadapan Datuk Abdul Halim Aman bersambung esok.
Sementara itu, saksi pendakwaan ke-11, Pegawai Operasi CIMB Bank, K. Sashi, 42, memberitahu, dia ada dimaklumkan oleh pekerja bawahannya yang Zara Eleena beberapa kali mengadu secara lisan berhubung kehilangan wang daripada akaun bank miliknya.
Bagaimanapun menurutnya, tiada sebarang siasatan dijalankan oleh pihaknya kerana aduan berkenaan tidak dibuat secara rasmi.
Menurut Sashi, berdasarkan rekod, Zara Eleena beberapa kali menukar kad pengeluaran wang automatik (ATM) serta menutup akaun lama dan membuka akaun baharu selepas mengadu wangnya hilang.
Menjawab pertanyaan Aidatul Azura, Sashi mengakui bahawa CIMB mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) bagaimanapun tiada sesiapa tampil untuk melihat rakaman berkaitan.
Saksi pendakwaan ke-12, pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Inspektor Mohd. Nassrul Safre Mohd. Nasir dalam keterangannya pula berkata, tertuduh ketiga yang memaklumkan kepadanya, barang kemas itu dijualnya di sebuah kedai di Pandan Jaya.
"Selepas mendapat arahan daripada pihak atasan, saya bersama sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Jenayah Berat (D9) IPD Serdang pergi ke kedai emas yang dimaksudkan dengan berpandukan maklumat oleh tertuduh ketiga.
"Sampai di hadapan kedai saya sekali lagi mendapat kepastian daripada tertuduh mengenai kedai tersebut dan dia mengakuinya. Saya bertanya kepada pemilik kedai emas itu dan dia mengakui cam tertuduh,'' katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140227/ma_03/Tukang-emas-dakwa-lelaki-badan-gempal-jual-lima-barang-kemas#ixzz2uTQuTZds
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment