Search This Blog

Sunday, February 16, 2014

Tiga kanak-kanak terselamat kenderaan bapa terbakar


KUALA LUMPUR 15 Feb. - Tiga kanak-kanak lelaki yang ditinggalkan bapanya dalam sebuah Proton Exora nyaris maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) itu tiba-tiba terbakar di tempat letak kenderaan Hospital Selayang dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, kesemua mangsa yang masing-masing berusia enam, sembilan dan 10 tahun bagaimanapun sempat keluar dari MPV tersebut dengan bantuan orang awam.
Bapa mereka, Painani Awang Hassan, 37, ketika dihubungi berkata, dia terpaksa meninggalkan tiga anak lelakinya di dalam kenderaan itu untuk mengambil isterinya yang keluar dari wad.
"Kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke dalam wad, jadi saya tinggalkan mereka sekejap dalam kenderaan yang diletakkan tidak jauh dari lobi serta tidak mengunci pintunya.
"Tetapi ketika turun semula kira-kira 15 minit kemudian, saya dapati kenderaan saya terbakar dan anak-anak pula berada tidak jauh dari situ bersama orang awam," katanya di sini hari ini.
Painani berkata, semasa kejadian, anak sulungnya ternampak api keluar dari bahagian papan pemuka kenderaan bertindak membuka pintu dan keluar bersama dua adiknya.
"Selepas keluar dari kenderaan, orang awam yang berada di kawasan itu membawa mereka jauh dari tempat kebakaran.
"Apa pun saya bersyukur kerana semua selamat dan kami berterima kasih kepada orang awam yang membantu," katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, Proton Exora tersebut musnah sepenuhnya manakala sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang diletakkan berhampiran kenderaan itu rosak sebahagiannya.
"Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dengan tujuh anggota tiba di lokasi pada pukul 4.04 petang serta berjaya memadamkan kebakaran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140216/dn_08/Tiga-kanak-kanak-terselamat-kenderaan-bapa-terbakar#ixzz2tQtKLrya
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment