Search This Blog

Wednesday, February 5, 2014

Tiga beradik maut serangan di Thailand


PATTANI 4 Feb. - Tiga beradik lelaki ditembak mati dan ibu bapa mereka dilaporkan cedera dalam satu serangan di daerah Bacho, wilayah Narathiwat, semalam.
Mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Baharee Maman, 9, dan dua adik lelakinya Areeya, 5, dan Muyaheh, 3 tahun.
Bapa mereka, Jehmu Maman, 40, dan ibu mereka Padeelaeh Mayu, 33, mengalami kecederaan dan dimasukkan ke hospital Narathiwat Ratchanakarin.
Pegawai polis Tambon Palukasamoh, Leftenan Adam Rorhemman berkata, kejadian tersebut berlaku pada kira-kira pukul 9 malam di hadapan rumah mereka yang bernombor 143/4 of Moo 7 di Tambon Palukasamoh.
Jehmu memberitahu polis, keluarganya baru pulang dari masjid dengan menaiki motosikal selepas menunaikan solat di masjid kampung mereka sebelum lelaki bersenjata yang bersembunyi di dalam belukar berhampiran melepaskan tembakan.
Semua kanak-kanak itu meninggal dunia di hospital Bacho.
Polis mendakwa kejadian itu dilakukan oleh kumpulan pemisah.
Tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala terlibat dengan pergolakan yang bermula sejak tahun 2004 dan mengorbankan sekurang-kurangnya 5,300 nyawa.
Kumpulan pemisah biasanya menjadikan pasukan keselamatan sebagai sasaran utama.
Polis kini menjalankan siasatan berhubung serangan hendap terhadap keluarga berkenaan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140205/lu_03/Tiga-beradik-maut-serangan-di-Thailand#ixzz2sOQhXnlx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment