Search This Blog

Friday, February 28, 2014

Tersepit rempuh treler



Alor Gajah: Seorang lelaki nyaris maut selepas PROTON Iswara dipandunya merempuh belakang treler membawa muatan tikar getah di Kilometer 193.5, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi, lelaki lingkungan 30-an itu cedera di kepala dan badan serta tersepit di dalam kenderaan yang remuk sebelum berjaya dikeluarkan pengguna jalan raya.


Pemandu treler membawa muatan tikar getah Shahrom Aziz, 35, berkata, kenderaan berat dipandunya tiba-tiba bergegar dipercayai akibat dirempuh kenderaan lain dari belakang.



“Saya dalam perjalanan ke Taman Daya, Johor Bahru, untuk menghantar tempahan tikar getah dan memandu perlahan di lorong kiri kerana kenderaan sarat dengan muatan sebelum treler tiba-tiba bergegar.


“Tersentak dengan itu, saya terus memberhentikan treler di lorong kiri, namun tidak berani keluar kerana keadaan lebuh raya yang gelap lalu menghubungi seorang rakan memaklumkan kejadian,” katanya, di sini, semalam.


Menurutnya, beberapa pengguna lebuh raya berhenti untuk membantu dan pada masa sama memaklumkan ada kenderaan terbabit dalam kemalangan.

Shahrom berkata, dia kemudian memberanikan diri turun dari treler dan melihat beberapa pengguna jalan raya membantu mengeluarkan pemandu kereta yang cedera dari dalam kereta dan membaringkannya di tepi jalan.


“Tidak lama kemudian sebuah jentera bomba tiba di tempat kejadian memberikan bantuan kecemasan sebelum anggota paramedik membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Jurucakap bomba berkata, sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu menyelamat mangsa sebaik menerima panggilan jam 3.30 pagi.


“Setibanya di tempat kejadian, pemandu kereta itu sudah dikeluarkan orang ramai sebelum dihantar pasukan paramedik ke hospital,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohammad Laham mengesahkan kemalangan dan berkata, mangsa yang cedera dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/28

No comments:

Post a Comment