Search This Blog

Wednesday, February 5, 2014

Tedung selar ragut nyawa

Oleh Zulfa Mohamad
Butterworth: “Sebelum ini, saya pernah melarang kerana hobinya itu sesuatu yang bahaya tetapi dia teruskan juga kerana minat dengan pertunjukan ular,” kata Aziz Bakar, 50, bapa tiri kepada Mohd Sufian Mohd Zain, 22, yang disahkan meninggal dunia akibat dipatuk ular tedung selar kira-kira jam 8.55 pagi semalam.
Terdahulu dalam kejadian di Sungai Petani Kedah, Sabtu lalu, mangsa yang cuba menangkap reptilia berbisa sepanjang empat meter itu tidak sedarkan diri selepas dipatuk ular berkenaan dan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sunga Petani, Kedah. 
Bagaimanapun, selepas empat hari bertarung nyawa dan mendapat rawatan di wad di HSAH, Mohd Sufian disahkan meninggal dunia akibat terkena patukan reptilia berkenaan.

Aziz, dari Taman KGN, Teluk Air Tawar di sini, berkata, secara peribadi dia memang tidak gemar dengan hobi anak bongsunya itu kerana boleh mengundang risiko pada bila-bila masa, bagaimanapun membiarkan arwah meneruskan aktiviti itu kerana ia adalah minatnya.
Foto
MOHD Sufian maut dipatuk ular tedung selar Sabtu lalu.

“Kadang-kadang dia tunjukkan gambarnya beraksi bersama ular yang ditangkapnya itu dan gambar itu disimpan di dalam komputer riba tetapi saya enggan melayan gelagatnya itu sebagai membantah hobi dianggap berisiko.

“Hinggakan ada kalanya kami bergaduh tetapi saya tidak mahu terlalu bertegas kerana arwah sudah minat dengan pertunjukan ular, mungkin sudah takdir dia meninggal akibat dipatuk ular dan saya reda dengan pemergiannya,” katanya.

Berikutan minat mendalam mengenai reptilia itu, arwah sebelum ini kerap turut serta dalam pertunjukan ular bersama rakannya sejak menunjukkan minat dalam dunia menjinakkan dan menangkap reptilia berbisa itu setahun lalu.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/05

No comments:

Post a Comment