Search This Blog

Friday, February 28, 2014

Tak sedar 3 jam kepala dihentak


Machang: Seorang wanita tidak sedarkan diri hampir tiga jam selepas kepalanya dihentak dipercayai menggunakan objek tumpul oleh peragut sebelum melarikan wang Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) selepas beg tangannya diragut dalam kejadian di Jalan Kampung Raja, Panyit, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Kasmawati Wahid, 46, dari Kampung Tok Bilal, Kemunchup, cedera di kepala, tangan serta bahu kiri selepas dihentak dan ditarik penyamun terbabit.


Akibat hentakan itu, mangsa yang juga penoreh getah terus terjatuh dari motosikal ditungganginya itu dan tidak sedarkan diri di atas jalan sebelum dihantar ke Hospital Machang (HM).



Kasmawati berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan ke bank di bandar Machang untuk memasukkan wang AIM RM1,600 yang baru dikutip daripada peserta.


Katanya, dia tidak sedar diekori dua motosikal dinaiki empat lelaki yang kemudiannya menghimpit di kiri dan kanannya.


“Ketika itu, peragut terbabit menghentak kepala saya dengan satu objek tumpul sebelum jatuh tidak sedarkan diri. Saya hanya sedar tiga jam kemudian dan mendapati diri di hospital.

“Namun, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana terselamat daripada kejadian itu,” katanya.


Selain wang terbabit, beberapa dokumen penting turut dilarikan penjenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Che Malek Bedot ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/28

No comments:

Post a Comment