Search This Blog

Sunday, February 9, 2014

Singapura tahan rakyat Malaysia edar dadah


SINGAPURA, 8 Feb — Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura merampas kira-kira 1.63 kilogram heroin dan 90 gram 'Ice' dianggar bernilai lebih S$185,000 (RM481,000) serta menahan tiga lelaki, termasuk seorang rakyat Malaysia, yang disyaki mengedar dadah berkenaan, semalam.
Turut dirampas wang tunai berjumlah lebih $20,000 (RM52,000).
Dalam operasi pada kira-kira pukul 9.25 malam itu, pegawai CNB memantau pergerakan dua suspek yang bertemu berhampiran Choa Chu Kang Way.
Suspek berusia 42 tahun warga Singapura kemudian dilihat memandu keretanya meninggalkan lokasi itu, manakala rakannya, seorang rakyat Malaysia berusia 41 tahun memandu sebuah bas.
Pegawai CNB menahan suspek pertama di persimpangan trafik berhampiran Choa Chu Kang Drive dan menemui satu beg plastik di tempat penumpang depan yang disyaki mengandungi kira-kira 1.4 kilogram heroin.
Pemeriksaan lanjut di tempat persembunyian suspek berkenaan, juga di Choa Chu Kang, menjumpai satu bungkusan heroin seberat kira-kira 230 gram.
Suspek kedua, pula dilihat mengambil suspek ketiga iaitu seorang lelaki warga Singapura berusia 25 tahun di Teck Whye Crescent.
Suspek ketiga ditahan ketika turun dari bas berkenaan dan pegawai CNB menemui satu paket plastik berisi kira-kira 90 gram 'Ice' yang dibuangnya sejurus sebelum itu.
Suspek rakyat Malaysia, pula ditahan selepas memberhentikan bas di Lentor Avenue. Siasatan kes itu masih berjalan. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140209/lu_04/Singapura-tahan-rakyat-Malaysia-edar-dadah#ixzz2smCuYj00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment