Search This Blog

Friday, February 28, 2014

Siasat gelaran Profesor Rhoma


Jakarta: Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Muhammad Nuh berkata, gelaran profesor yang diberikan kepada penyanyi dangdut Rhoma Irama sepatutnya disahkan terlebih dulu.

Menurut Nuh, sekiranya terbukti gelaran profesor yang diterima Rhoma itu tidak diiktiraf, penyanyi terbabit boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda Rp500 juta (RM140,658) selaras dengan undang-undang Sistem Pendidikan Nasional.

“Sama saja jika dia memperoleh gelaran sarjana itu di luar negara, tidak bermakna kita mengiktirafnya serta-merta.

“Perlu ada pengesahan kerana kita ingin tahu sama ada institusi yang memberikan gelaran itu ditauliah atau tidak. Jika setiap syarat sudah dipenuhi maka kita akan mengiktiraf gelaran itu sebagai sah,” katanya.


Nuh mengaku dia tidak tahu-menahu mengenai gelaran profesor yang diterima Rhoma.

Menurut pendapatnya, seorang profesor ialah ahli akademi yang aktif mengajar dan memiliki hasil penulisan ilmiah yang diiktiraf.

Isu gelaran profesor diterima Rhoma dipertikaikan selepas sepanduk menampilkan foto Raja Dangdut di Jakarta Selatan berbunyi “Presiden Kita Bersama Prof Rhoma Irama”.

Sementara itu, Rhoma berkata, dia lebih suka jika sepanduk berkenaan hanya menulis namanya saja tanpa menyatakan gelaran diperolehnya.

Rhoma mengaku menerima gelaran akademik itu Universiti Amerika, Hawaii pada 2005.

Pada waktu itu, katanya, tiga profesor universiti terbabit berkunjung ke Taman Mini Indonesia Indah dan bertemu dengannya.

Disebabkan dia dianggap guru muzik dangdut di Indonesia, maka gelaran itu diberikan kepadanya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/28

No comments:

Post a Comment