Search This Blog

Sunday, February 2, 2014

Sembunyi jenayah kemanusiaan


Sekumpulan pelarian Rohingya berlindung di dalam sebuah masjid, sebagai persediaan menghadapi Taufan Mahasen di Sittwe, negeri Rakhine, Myanmar, pada 15 Mei tahun lalu. - AGENSI
BANGKOK 1 Feb. - Keganasan melibatkan pembunuhan sejumlah etnik Rohingya Islam dan seorang anggota polis di Rakhine pada awal bulan ini, masih misteri ketika kerajaan Myanmar enggan memberi kebenaran kepada wartawan asing memasuki kawasan terbabit.
Tindakan itu juga dilihat sebagai cubaan kerajaan Myanmar untuk menyembunyikan penghapusan etnik Rohingya Islam yang didakwa sudah bermula, menjelang bancian penduduk negara ini pada hujung Mac hingga April nanti.
Laman web akhbar Burma Times mendedahkan, laporan dari bandar Maungdaw, Rakhine menyatakan, sekurang-kurangnya 48 anggota Rohingya terbunuh dalam serangan kumpulan pelampau Buddha dan 70 rumah dibakar dalam kejadian yang berlaku antara 9 dan 13 Januari lalu.
Seorang pegawai polis Myanmar turut dilaporkan terbunuh dalam kejadian itu.
Laporan Kumpulan Krisis Antarabangsa pada 26 Januari lalu menyatakan, kira-kira 48 orang dipercayai dibunuh dalam dua kejadian keganasan antara 9 dan 13 Januari.
Beberapa dakwaan menyatakan, pembunuhan tersebut dilakukan oleh polis dan mangsa yang terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak.
Dalam pada itu, laman web saluran televisyen Press TV melaporkan, kerajaan Myanmar menyatakan pihaknya telah melancarkan siasatan ke atas pembunuhan besar-besaran di Rakhine dan menegaskan tidak membenarkan sebarang kumpulan asing campur tangan dalam perkara itu.
Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin berkata, kerajaan membentuk satu pasukan untuk menyiasat kejadian di Maungdaw.
Kerajaan Myanmar turut menolak laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pembunuhan 48 anggota Rohingya dalam kejadian terbaharu di Rakhine tersebut.
Badan dunia dan pertubuhan hak asasi manusia menuduh kerajaan Myanmar tidak mempedulikankeganasan terhadap wanita Rohingya tersebut.
Etnik Rohingya membentuk lima peratus populasi daripada keseluruhan penduduk negara itu yang menghampiri 60 juta orang.
Mereka didakwa diseksa, dipinggirkan dan ditindas sejak Myanmar mencapai kemerdekaan pada 1948. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140202/lu_03/Sembunyi-jenayah-kemanusiaan#ixzz2s89pjvct
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment