Search This Blog

Wednesday, February 5, 2014

Rugi RM2j kilang perabot hangus

Muar: Seorang pengusaha perabot kerugian hampir RM2 juta apabila kilangnya musnah dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Bukit Pasir di sini, semalam.
Kebakaran dipercayai bermula pada jam 8.45 pagi dan ketika itu pekerja baru saja memulakan operasi harian.
Menurut seorang pekerja, Musa Surian, 51, ketika kejadian, dia baru memulakan tugas di bahagian pembungkusan.
Katanya, dia menyedari kebakaran selepas beberapa pekerja warga Nepal menjerit memaklumkan kejadian.
“Pada masa sama, kami cuba memadamkan api menggunakan air diambil dari bilik air, namun gagal kerana ia marak dengan pantas.
“Kami berlari keluar menyelamatkan diri selepas siren kecemasan kilang dibunyikan,” katanya.
Pemilik kilang Tan Chen Gee, 41, hanya mengetahui kejadian itu kira-kira 10 minit kemudian selepas dihubungi pekerjanya dan bergegas dari rumahnya di Bakri.
Kata Tan, kilang itu lebih tiga tahun beroperasi dan ia ditutup empat hari sempena sambutan Tahun Baru Cina.
“Kebakaran menyebabkan kami kerugian hampir RM2 juta kerana lebih 22 mesin selain papan perabot musnah terbakar.
“Mujur kebakaran tidak menyebabkan kematian kerana ada 150 pekerja ketika kejadian.
Berdasarkan maklumat daripada pekerja, kebakaran mungkin akibat litar pintas di sebuah daripada mesin sebelum merebak,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat Muar Ismail Mahmud berkata, sebaik menerima panggilan kebakaran, dua jentera bersama 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Operasi memadamkan sepenuhnya kebakaran berlarutan sehingga ke petang kerana kami mahu pastikan bara api terbabit padam sepenuhnya.
“Ia penting bagi mengelakkan kebakaran itu merebak ke kilang bersebelahan.

Punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian bagaimanapun masih disiasat,” katanya.
Foto
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan api.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/05

No comments:

Post a Comment