Search This Blog

Wednesday, February 5, 2014

Rintihan ibu

Oleh Sarah Zulkifli
Shah Alam: “Saya memohon agar mahkamah meringankan wang jaminan kerana saya tidak mempunyai wang.
“Malah, saya terpaksa meminjam duit bantuan persekolahan BR1M anak-anak lain yang diberikan kerajaan untuk datang ke sini,” kata seorang ibu berusia 40-an dalam rayuannya di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Terdahulu, remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga anak kepada wanita itu mengaku bersalah atas kesalahan menunggang motosikal secara berbahaya di Jalan Dataran Kemerdekaan, di sini, pada 1 Februari lalu.

Bagaimanapun, Majistret Farah Azura Mohd Saad menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh hukuman.
Foto
DUA remaja mengaku bersalah tunggang motosikal secara berbahaya.

Sebelum prosiding berjalan, remaja yang memakai baju merah jambu dan sudah tidak bersekolah itu menangis teresak-esak di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan pilihan, anak keempat daripada tujuh beradik itu didakwa menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya kepada orang awam di Jalan Dataran Kemerdekaan di sini, pada kira-kira jam 12.45 tengah malam, 1 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Selain remaja itu, seorang lagi tertuduh Muhammad Adzie Zulhaq Rahim, 18, juga mengaku bersalah atas pertuduhan sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nooranisa Ngadirin menawarkan masing-masing diikat jamin dengan RM4,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan agar tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran seminggu sekali.

Bagaimanapun, kedua-dua penjaga tertuduh itu memohon supaya mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana tidak berkemampuan.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan kedua-dua remaja itu masing-masing diikat jamin dengan RM3,500 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/05

No comments:

Post a Comment