Search This Blog

Friday, February 28, 2014

Riau isytihar darurat jerebu

PEMANDANGAN ibu negeri wilayah Riau, Pekanbaru yang diselubungi jerebu semalam.


JAKARTA - Perintah darurat diisytihar di wilayah Riau, Indonesia semalam selepas jerebu akibat pembakaran hutan yang menjejaskan penerbangan dan perjalanan kapal manakala pihak berkuasa melaporkan masalah pernafasan kian meningkat.
Agensi Mitigasi Kebangsaan menyatakan, wilayah Riau yang dihuni oleh lima juta penduduk dilanda jerebu sejak beberapa minggu lalu ekoran operasi pembersihan hutan secara haram dan kemarau berpanjangan.
"Menurut data yang kami peroleh, kebakaran hutan kini semakin teruk dan perlu dipadam menggunakan pesawat membawa bom air," kata jurucakap agensi berkenaan, Sutopo Purwo Nugroho.
"Kami bersedia melakukan operasi tersebut," tambahnya.
Imej televisyen agensi berita Reuters semalam menunjukkan asap tebal naik ke udara dari beberapa kawasan hutan yang terbakar di Riau.
Pasukan bomba sukar memadamkan kebakaran hutan yang berlaku ekoran peralatan yang terhad dan kekurangan bekalan air.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa wilayah berkenaan mengagihkan topeng muka kepada penduduk dan menggesa mereka supaya tidak keluar rumah.
"Situasi ini membimbangkan kerana kami melihat peningkatan dalam kes masalah pernafasan daripada 5,000 kes pada Januari lalu kepada 22,000 kes bulan ini," kata ketua jabatan kesihatan wilayah, Zainal Arifin.
Sebilangan penerbangan turut dibatal atau dilencongkan dari beberapa lapangan terbang di Riau berikutan jarak penglihatan kini kurang daripada satu kilometer.
Jerebu merupakan masalah berulang di Indonesia dan jiran-jirannya. Masalah itu kerap berpunca daripada perbuatan petani dan syarikat pertanian membakar hutan untuk membuka ladang-ladang kelapa sawit.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono terpaksa meminta maaf kepada dua jirannya, Singapura dan Malaysia pada pertengahan tahun lalu apabila kedua-dua negara itu dilitupi jerebu akibat pembakaran hutan di Indonesia.
Beberapa penganalisis menganggarkan Singapura berdepan kerugian hampir AS$1 bilion (RM3.2 bilion) akibat bencana itu pada tahun 2013 yang disifatkan terburuk dalam tempoh 16 tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, agensi meteorologi Indonesia menyatakan, angin kini bertiup ke arah barat daya, jauh dari Singapura tetapi perubahan angin yang biasa berlaku pada bulan April atau Mei di Indonesia mungkin menyebabkan Singapura kembali dilanda jerebu.
Sementara itu, polis menangkap 26 orang pada minggu lalu kerana disyaki melakukan pembakaran dan pembersihan hutan secara haram melibatkan kawasan seluas 2,000 hektar. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2uZDSAL90 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment