Search This Blog

Sunday, February 2, 2014

Remaja lelaki maut dilanggar lari depan sepupu


KOTA BHARU 1 Feb. - Seorang remaja lelaki 13 tahun terbunuh setelah menjadi mangsa langgar lari oleh sebuah kereta di Jalan Kemumin di sini malam tadi.
Lebih menyayat hati kemalangan yang menimpa Muhammad Arif Salleh itu berlaku betul-betul dihadapan sepupunya, Norsuhadah Fauzi,17, ketika mereka sama-sama berjalan kaki di bahu jalan untuk ke kedai kira-kira 15 meter dari rumah nenek mereka.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa yang ketika itu mahu menemani sepupunya membeli kad tambah nilai telefon bimbit telah dilanggar dari arah belakang sebelum digilis kereta jenis Myvi putih.
Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian dan disahkan meninggal dunia kira-kira setengah jam kemudian.
Norsuhadah memberitahu, dia berjalan kaki beberapa meter di belakang mangsa di bahu kiri jalan menghala ke Panchor dan melihat sebuah kereta Myvi putih yang laju melepasinya dan tiba-tiba melanggar Muhammad Arif.
"Saya nampak di depan mata sebuah kereta bercermin gelap melanggar sepupu saya di bahu jalan. Selepas dilanggar, dia (Muhammad Arif) digilis kereta itu yang terus berlalu pergi.
"Sebuah kenderaan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang kebetulan lalu di situ kemudian memberikan bantuan dan membuat panggilan kecemasan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Panji sini hari ini.
Sementara itu, ibu Muhammad Arif, Rashidah Ibrahim, 45, pula berkata, mereka dari Pasir Puteh datang ke rumah neneknya bagi menghadiri majlis makan malam bersama keluarga.
"Anak saya itu boleh dikatakan pelajar cemerlang kerana memperoleh 4A 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah lalu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
"Siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140202/je_07/Remaja-lelaki-maut-dilanggar-lari-depan-sepupu#ixzz2s8Aj9NJy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment