Search This Blog

Sunday, February 16, 2014

Remaja ditahan teguk arak


Nilai: “Tolong jangan beritahu keluarga saya, kalau mereka tahu...mati saya,” rayu seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang ditahan kerana disyaki minum arak oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), malam kelmarin.

Remaja terbabit antara lima yang ditahan kerana mengambil minuman keras dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Semarak, di sini, dan turut ditahan tiga pasangan disyaki berkhalwat dalam serbuan di sebuah hotel di lokasi sama.


Dalam operasi sempena sambutan Hari Valentine itu, remaja perempuan terbabit dipercayai pernah ditahan dalam serbuan sebelum ini dan seolah-olah tidak serik melakukan kesalahan sama selain cuba menenangkan rakannya yang turut ditahan.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata, operasi bermula jam 11.30 malam itu dan berakhir tiga jam kemudian menahan 11 individu berusia antara 18 hingga 44 tahun.


“Dengan kekuatan 30 pegawai dan anggota, kita melakukan serbuan awal di sebuah pusat hiburan dan menahan dua lelaki dan tiga perempuan berusia antara 18 hingga 44 tahun dalam beberapa bilik hiburan kerana minum arak.


“Serbuan kedua pula dilakukan di sebuah hotel bajet yang terletak berhampiran pusat hiburan itu dan menahan tiga pasangan berusia antara 18 hingga 30 tahun dalam bilik berasingan atas kesalahan berkhalwat,” katanya sebaik tamat operasi, awal pagi semalam.

Ketika serbuan itu juga, seorang kakitangan awam berusia 28 tahun yang ditahan bersama pasangannya lelaki berusia 27 tahun merayu dibebaskan dan memberi alasan menginap di hotel berkenaan sementara menunggu waktu penerbangan ke Thailand bagi menghadiri program yang dianjurkan pejabatnya.


Difahamkan, wanita terbabit yang tinggal di Kajang, Selangor mendakwa dijemput teman lelaki untuk menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, namun, mereka singgah bermalam di hotel itu.



Ahmad Zaki berkata, semua yang ditahan dibawa ke pejabatnya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 61 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

No comments:

Post a Comment